Tol Percuma Sempena Hari Raya Itu Biasa. Ada Pula Netizen Cadang Naikkan Palang Tol Terus Elak Trafik, Baru 'Luar Biasa'!
TERKINIBersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut rakyat Malaysia beberapa hari sahaja lagi -- Kerajaan telah mengumumkan 2 berita baik iaitu pemberian tol secara percuma dan hari kelepasan am.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tol percuma itu akan bermula dari 19 April 2023 (Rabu) hingga 21 April 2023 (Jumaat).
Selain itu, tol percuma juga akan dilaksanakan pada 24 April 2023 (Isnin).
Pelaksanaan Tol Rahmah Percuma itu bakal melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan.
Meskipun ramai yang bersyukur dengan pengecualian bayaran tol selama 4 hari untuk semua pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri di bawah nama 'Tol Rahmah' seperti diumum Datuk Seri Anwar -- namun masih ada juga segelintir netizen yang menyifatkan pengumuman tol berkenaan adalah sama sahaja seperti zaman pentadbiran beberapa PM terdahulu.
Justeru, bagi membuatkan sedikit kelainan ada juga netizen yang mencadangkan agar dinaikkan sahaja palang tol pada keempat-empat hari pemberian tol percuma tersebut bagi mengelakkan kesesakan trafik.
Bagaimanapun ada juga netizen menjelaskan mengapa pengguna masih perlu menyentuh kad Touch n Go di tol meskipun percuma adalah disebabkan syarikat konsesi tol akan memungut rekod jumlah kenderaan yang melaluinya agar memudahkan mereka mendapatkan semula bayaran daripada Kerajaan.
Ini kerana inisiatif pemberian tol percuma itu adalah sebenarnya hasrat murni Kerajaan bagi membantu mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung.
Bukan sahaja tol percuma, bahkan Kerajaan turut bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pengumuman rasmi tarikh 1 Syawal yang hanya akan dibuat pada Khamis, 20 April 2023.
"Sekiranya tarikh 1 Syawal 1444H jatuh pada Jumaat, 21 April 2023, maka Kerajaan menetapkan hari Isnin, 24 April 2023 sebagai hari kelepasan am tambahan.
"Ia adalah berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
"Walau bagaimanapun, sekiranya tarikh 1 Syawal 1444H jatuh pada Sabtu, 22 April 2023, maka Kerajaan menetapkan hari Jumaat, 21 April 2023 sebagai hari kelepasan am tambahan," katanya.
Tambah beliau, Bagi Sabah dan Sarawak pula, kerajaan negeri boleh mengisytiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.