MAS Perkenal "MHvacaypass" : 1 Pas Dengan 2 Perjalanan Pergi-Balik!

TRAVEL
May 05, 2023 - 05:20 PM


Jika anda ingin merasai pengalaman pelancongan di Malaysia dengan dua perjalanan pergi balik ke mana-mana destinasi domestik pilihan dalam tempoh setahun bermula dari RM531.10 -- ini ada satu tawaran menarik daripada Malaysia Airlines!

Terbaharu MAS memperkenalkan MHvacaypass yang menawarkan pakej perkhidmatan menerokai destinasi pelancongan menarik dan menyokong pemulihan industri pelancongan di Malaysia.

MHvacaypass ini menyediakan fleksibiliti, membolehkan pelancong memilih daripada 5 tema pas yang memenuhi pelbagai minat dan pilihan -- sama ada penggemar makanan, pencinta alam semula jadi, sejarah atau riadah di pantai.

PENERBANGAN MESTI DITEMPAH & DITERBANGKAN DALAM TEMPOH SETAHUN PEMBELIAN

"MHvacaypass tersedia secara eksklusif di Journify. Semua penerbangan mesti ditempah dan diterbangkan dalam tempoh 12 bulan selepas pembelian.

"Pas terhad tersedia, dengan hanya 1,000 untuk setiap lima tema dan destinasi semuanya ke atau dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," kata syarikat penerbangan nasional itu dalam satu kenyataan.

Tawaran istimewa ini juga eksklusif untuk ahli Enrich Malaysia Airlines.

5 TEMA TAWARAN PAKEJ

Antara tawaran yang disediakan MHvacaypass adalah untuk mereka yang ingin melancong ke kawasan pantai iaitu 'Sun Days MHvacaypass' ke Langkawi dan Johor Bahru -- selain 'Vitamin Sea MHvacaypass' ke Tawau dan Terengganu.

Bagi penggemar makanan pula, tawaran melalui 'Foodie Hunt MHvacaypass' akan membawa mereka ke Kota Kinabalu dan Sandakan di Sabah yang terkenal dengan makanan laut dan makanan tempatan.

Sementara itu, 'Heritage Discovery MHvacaypass' sesuai untuk peminat sejarah dan budaya ke Miri dan Pulau Pinang, yang mempunyai Tapak Warisan Dunia UNESCO seperti Taman Negara Mulu dan George Town.

'Nature Trail MHvacaypass' pula direka untuk mereka yang ingin menerokai keindahan alam semula jadi di Kuching dan Miri.

KELEBIHAN LAIN MHvacaypass

Pakej MHvacaypass adalah termasuk elaun bagasi daftar masuk 35 kilogram (kg), elaun bagasi kabin 7kg, keutamaan daftar masuk, menaiki dan bagasi, pemilihan tempat duduk standard serta percuma makanan dan minuman.

Dengan fleksibiliti tambahan, MHvacaypass juga membenarkan perubahan tarikh percuma tanpa had, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk, dengan tempahan sekurang-kurangnya 14 hari lebih awal.

Pelancong juga boleh memperoleh Enrich Points dan menerima baucar Journify RM30, terpakai untuk 200 pembeli pertama sahaja.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati saluran media sosial Journify di Facebook, Instagram dan YouTube serta daftar untuk menjadi ahli Enrich di https://enrich.malaysiaairlines.com/signup.

Sumber: Berita Harian

Destination: