Bertam Water Park & Resort - Taman Tema Air Berkonsep 'Moroccan', Tarikan Terbaru Di Penang!

TRAVEL
May 12, 2023 - 11:29 AM


Jika sebelum ini Pulau Pinang memecah rekod dunia apabila memiliki gelongsor air tiub terpanjang di dunia iaitu ESCAPE Penang dengan 'water slide' sepanjang 1.11km sehingga mendapat pengiftirafan daripada Guinness World Record.

Kini Penang bertambah meriah dengan satu lagi pembukaan taman tema air yang berkonsepkan 'Moroccan' iaitu negara Timur Tengah.

Dibuka secara rasmi pada Januari lepas -- Bertam Water Park & Resort menawarkan 14 tarikan permainan air yang bakal membuatkan adrenalin anda tidak kurang tercabarnya seperti di ESCAPE.

Bukan sahaja taman tema air malah Bertam Water Park & Resort turut menyediakan tempat penginapan kepada pengunjung yang ingin menginap di situ selepas penat seharian bermain air.

TARIKAN WAJIB CUBA 'DAWWMA TORNADO'

Jika anda ke sini dengan membawa anak-anak dan keluarga -- anda jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman menerujakan iaitu gelongsor Dawwma Tornado yang dibina khas berputar-putar seperti anda masuk ke dalam ribut taufan yang laju!

Kalau anda datang bersama kawan-kawan pula anda cubalah gelongsor air Voyager yang ada 3 turas air yang dijamin membuat anda menjerit kuat dan berterusan sehingga macam nak terkeluar anak tekak, tapi confirm fun! Hehehe...

Selain itu, gelongsor Rush Racer juga wajin anda cuba jika sesekali anda ingin mencabar adrenalin dan berlumba bersama rakan-rakan lain.

Jangan risau bagi sesiapa yang membawa kanak-kanak atau anak kecil kerana di sini juga terdapat gelongsor untuk kanak-kanak yang akan menggembirakan mereka seperti permainan Down dan Kraken.

Bukan setakat anak-anak, silap-silap mak dan ayah juga tergoda nak join anak-anak bermain di sini. Hahaha...

Sementara itu, di Bertam Water Park & Resort ini juga mempunyai sebuah kolam renang yang dinamakan Kolam Pearl Oasis dibina khas untuk anak yang lebih kecil dan siap ada taman permainan lagi di dalamnya.

Untuk mereka yang lebih aktif dan lasak, digalakkan untuk mencuba Wet Venture Course yang dibina dengan beberapa halangan dan pancuran air deras yang akan meningkatkan keterujaan korang.

NAK RILEKS SIKIT, BOLEH ENJOY KOLAM RENANG 'BLUE LAGOON'

Bagi anda yang mungkin agak takut untuk mencuba segala permainan dan gelongsor air yang mungkin sangat ekstrem, jangan risau kerana di Bertam Water Park & Resort ini juga ada menyediakan sebuah port khas untuk anda yang nak berehat atau santai-santai sahaja di kolam renangnya yang dinamakan 'Blue Lagoon'.

Ianya lebih rileks dan anda boleh berenang dengan santai saja dan jika korang nak rasa macam mandi di air terjun, boleh cuba layan Al Nahar.

Bukan setakat itu saja, Al Wadi Wellness pula dibuat untuk mereka yang menginginkan kolam ala jakuzi iaitu kolam air panas.

Taman tema air Bertam Water Park & Resort ini dibuka pada pukul 11 pagi sehingga 6 petang setiap hari.

Tiket masuk untuk dewasa berharga RM58.50, kanak-kanak yang berusia di 12 tahun dan ke bawah berharga RM38.50 manakala warga emas berharga RM38.50.

Namun jika anda datang ke sini pada hari Isnin, Selasa dan Khamis -- anda akan dapat potongan harga sehingga 30 peratus.

Dah tahu dah kan tempat ni menarik? Tunggu apa lagi? Jom bawa keluarga dan anak-anak merasai keriangan di tarikan terbaharu ini tambah-tambah lagi cuti sekolah pada penghujung Mei ini. Pakat mai ramai-ramai!

 

 

Destination: