Berita Baik Untuk Anak-Anak! Taman Tema Dijangka Buka November Ini
TERKINIDah lama tak bawa keluarga beriadah di taman tema? Berita baik untuk semua!
Taman tema di negara ini dijangka dibuka untuk kunjungan umum selewat-lewatnya November ini, selepas kadar vaksinasi mencapai 90 peratus.
Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, ini melihat kepada kesediaan pemain industri bagi sektor pelancongan untuk beroperasi semula.
Katanya, ia sekali gus dapat menghidupkan semula sektor berkenaan yang sudah terjejas teruk di sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
"Taman tema ini adalah penting sebagai tempat hiburan keluarga selepas sudah duduk berbulan-bulan di rumah.
"Ia juga perlu dibuka kerana taman tea memainkan peranan penting dalam pelancongan domestik khususnya membabitkan keluarga," kata Datuk Seri Dr Santhara.
Selain itu, Santhara berkata, pihaknya juga melihat proses prosedur operasi standard (SOP) yang lebih mudah berbanding di tempat yang terbuka.
"Apa yang penting adalah taman tema ini adalah persekitaran yang dapat dikawal. Jadinya, kita yakin dengan penambahbaikan SOP di taman tema ini untuk kepentingan semua pihak. Namun begitu kebenaran beroperasi semula bergantung kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan beberapa kementerian bertanggungjawab.
"Saya difahamkan kementerian yang terbabit sedang mengkaji dan tidak lama lagi akan ada keputusan berkenaan pembukaan taman tema itu.
"Kita sedang melihat kaedah SOP dan pemain industri juga memberi beberapa cadangan. Dalam hal ini, kementerian bersedia bekerja sebagai satu pasukan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Kerajaan negeri dan produk pelancongan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, keputusan sama ada taman tema keluarga akan dibuka dalam masa terdekat bakal diumumkan tidak lama lagi.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, pengumuman itu akan disampaikan pada masa yang sesuai memandangkan banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi termasuk gelembung pelancongan yang dijangka akan diperluaskan pada bulan depan.