Individu Dalam Fasa Rayuan BPR Bakal Dapat Bantuan Khas Covid

TERKINI
September 06, 2021 - 07:14 PM


Masih ramai yang 'tersangkut' di fasa rayuan untuk Bantuan Prihatin Rakyat? Jangan risau, korang akan diberikan Bantuan Khas Covid!

Semua individu yang berkelayakan tidak akan terkecuali menerima Bantuan Khas Covid-19 (BKC) termasuk mereka yang sedang dalam proses rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Timbalan Menteri Kewangan, Mohd. Shahar Abdullah berkata, bayaran BKC kepada individu terbabit akan dibuat selepas keputusan rayuan kelulusan BPN diperolehi yang dijangka pada bulan ini.

“Jika layak mereka juga akan menerima BKC dan sekiranya tidak layak BPN, kita akan gunakan kaedah silang data untuk semak dengan data percukaian dan sekiranya memenuhi syarat M40 mereka juga tidak akan terkecuali menerima bantuan ini.

“Apa pun kita mesti bantu rakyat terkesan tetapi apa yang kita buat mesti mematuhi syarat yang ditetapkan,” kata Timbalan Menteri Kewangan, Mohd. Shahar Abdullah.

BKC yang melibatkan peruntukan RM4.6 bilion akan memanfaatkan kira-kira 10 juta isi rumah yang terjejas akibat Covid-19 dan penerima bantuan BKC yang terdiri daripada golongan B40, M40 dan golongan bujang akan menerimanya dalam tiga fasa bermula bulan ini, November dan Disember 2021. 

Fasa pertama telah memanfaatkan 4.4 juta isi rumah, 1.1 juta warga emas dan 4.5 juta individu bujang yang akan dibayar secara berperingkat mulai hari ini, sementara secara keseluruhan peruntukan berjumlah RM17.1 bilion telah disediakan kerajaan tahun ini bagi melaksanakan BPN 2.0, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Tambahan, BKC dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP).