Lelaki Cantik Dianggap Ancaman, China Haramkan "Pretty Boy" Dalam Kaca TV

TERKINI
September 07, 2021 - 03:21 PM


Negara yang terkenal dengan ramai lelaki yang 'cantik' kini mengharamkan kemunculan lelaki cantik di dalam TV? 

Badan penyelaras penyiaran China memaklumkan bahawa mereka akan melarang sebarang bentuk estetika yang melibatkan pembawaan karakter seakan-akan wanita oleh lelaki dalam rancangan hiburan dan sebarang ‘pengaruh lucah’ serta kata-kata kesat.

Memetik laporan BBC, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada prosedur dan peraturan baru berkaitan dengan apa yang digambarkan sebagai kandungan tidak sihat dalam program hiburan.

Pentadbiran Radio dan Televisyen Nasional (NRTA) China turut menegaskan bahawa tingkah laku dan moral harus dimasukkan sebagai kriteria dalam pemilihan pelakon selain beberapa format persembahan pertandingan pencarian bakat bakal dihentikan.

Ia berikutan pihak berkuasa negara tersebut bertekad dalam mempromosikan apa yang ditakrifkan sebagai lelaki yang lebih maskulin dan mengkritik selebriti lelaki yang menggunakan solekan tebal.

Program yang mempromosikan budaya tradisional, revolusi atau memupuk suasana patriotik bagaimanapun, adalah digalakkan.

Terdahulu, Presiden Xi Jinping berjanji bahawa beliau akan menjadikan China sebuah negara yang lebih hebat dengan pelaksanaan pelbagai pembaharuan di peringkat nasional, termasuk pengawasan ketat terhadap sektor perniagaan, pendidikan, budaya dan agama di negara tersebut.

Menurutnya, kawalan tersebut adalah bagi mempertahankan masyarakatnya daripada terpengaruh dengan penggayaan lelaki yang berpenampilan tidak maskulin.

Memetik laporan Associated Press, ujar Xi, langkah terbabit diambilnya berikutan imej feminin sebegitu seolah-olah memberi ancaman terhadap nilai budaya tradisional dan agar selaras dengan visinya untuk menjadikan rakyat China lebih kuat dan sihat.

Sumber: SYOK