Singapura: Wajar Atau Tidak Usul Haramkan Merokok Di Balkoni Dan Tingkap Rumah

TERKINI
September 14, 2021 - 08:16 PM


Tak kan dalam rumah sendiri pun sampai nak diharamkan merokok? 

SINGAPURA: Merokok di tingkap dan balkoni rumah seharusnya diharamkan, jelas Louis Ng (PAP-Nee Soon) ketika beliau mempersoalkan mengapa undang-undang sedia ada tidak digunakan untuk menangani isu pendedahan kepada asap rokok daripada jiran tetangga.

Berita Mediacorp melaporkan, bercakap dalam usul penangguhan tentang menggunakan langkah pencegahan mengatasi isu pendedahan kepada asap rokok di rumah.

Ahli Parlimen itu menarik perhatian bahawa Seksyen 43 Akta Kesihatan Awam Alam Sekitar (EPHA) memberi kuasa kepada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi ‘menghapuskan gangguan yang bersifat umum’.

Gangguan seumpama itu termasuk ‘melepaskan sebarang asap, wap, gas, haba, sinaran dan bau di mana-mana premis yang mengganggu atau membahayakan atau memudaratkan kesihatan’.

“Mengapa kerajaan tidak menggunakan undang-undang ini untuk mengambil pendirian jelas bahawa merokok di tingkap dan balkoni adalah haram?” soalnya.

Menjawab persoalan tersebut, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Amy Khor berkata, seksyen-seksyen berkenaan dalam akta tersebut tidak boleh digunakan untuk melarang merokok di tingkap dan balkoni.

“Bahagian EPHA ini digubal dalam konteks tahun-tahun 1960-an di Singapura untuk mengambil tindakan bagi pengurangan segera risiko untuk menangkap (individu) yang melakukan gangguan awam menerusi kegiatan tertentu industri. Bukan tujuan EPHA untuk menangani larangan merokok,” katanya.

Ini adalah usul penangguhan kedua yang difailkan Louis berhubung pendedahan kepada asap rokok di rumah.

Pada Oktober tahun lalu, beliau juga menggesa agar larangan dikenakan ke atas penduduk yang merokok di tingkap atau balkoni.

Dalam ucapannya, Louis berkata, sekitar satu orang di Singapura meninggal dunia setiap hari akibat terdedah kepada asap rokok, berdasarkan 383 kematian yang dilaporkan pada 2016, dengan jumlahnya ‘meningkat setiap tahun’.

Menurut beliau, ini adalah lima kali lebih tinggi berbanding jumlah orang yang mati dalam kemalangan motor, tujuh kali lebih ramai daripada mereka yang meninggal dunia akibat koronavirus dan 12 kali lebih banyak berbanding jumlah individu yang maut akibat kecederaan di tempat kerja.