Selepas Rokok, AirAsia Nak Hentikan Penjualan Alkohol Dalam Pesawatnya?

TERKINI
November 12, 2019 - 12:30 PM


Seperti yang kita tahu baru-baru ini AirAsia telah mengumumkan untuk menghentikan jualan rokok bebas cukai dalam pesawat serta laman webnya, dan semalam (11 November) peraturan baharu itu telahpun mula dikuatkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan itu telah melaksanakan kempen anti merokok dan vape secara menyeluruh di 120 pejabat dan stesen di seluruh Asia Pasifik.

Manakala RedQ, ibu pejabat syarikat penerbangan tersebut kini mencatatkan 100 peratus sebagai bangunan bebas rokok.

Menurut Fernandes, walaupun setiap tahun Kumpulan AirAsia menjana pendapatan RM9 juta hasil daripada jualan tembakau, namun ia tidak menjadi penghalang untuk AirAsia muncul sebagai syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang melaksanakan polisi bebas daripada penjualan produk tembakau dalam penerbangan.

Malah katanya, AirAsia juga bercadang untuk menghentikan jualan produk lain seperti alkohol.

Meskipun mengakui langkah itu agak sukar namun pihaknya tidak akan tergesa-gesa atau menetapkan sebarang jangka waktu untuk melaksanakannya.

Atas usaha dan kempen anti merokok yang dilaksanakan AirAsia, Kementerian Kesihatan akan memberikan Anugerah Pencapaian Cemerlang Kempen Blue Ribbon kepada Fernandes di mana sijil akan disampaikan pada majlis anugerah dan pengiktirafan Kempen Blue Ribbon pada 22 November ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, 23 peratus rakyat Malaysia merokok pada masa ini dan 20,000 kematian dilaporkan setiap tahun kerana penyakit berkaitan rokok.

Sumber: Bernama

Baca juga: AirAsia Hentikan Penjualan Rokok & Tawar Insentif Kepada Staf Untuk Berhenti Merokok

Destination: