Penumpang Pulangkan Selimut MAS Selepas Hampir 1 Dekad
TERKINILazimnya bagi mereka yang menaiki kapal terbang untuk jarak perjalanan yang jauh akan dibekalkan dengan selimut, bantal dan 'earphone' untuk memastikan keselesaan mereka.
Bagaimanapun, kesemua barangan itu disediakan hanya buat sementara waktu iaitu untuk kegunaan ketika dalam penerbangan.
Namun, berbeza dengan seorang penumpang ini yang tidak mengetahui bahawa barangan itu tidak boleh diambil atau dibawa keluar dari pesawat dan telah memulangkannya kembali selepas tempoh 9 tahun.
Menurut laporan Harian Metro, seorang kru pesawat Malaysia Airlines (MAS) telah menemui nota di dalam bungkusan plastik berisi selimut yang tercatat :-
“MAAF... Saya kurang arif dulu. Saya ambil selimut ini. Sekitar 2011 tak silap. Hari ini, saya pulangkan. Minta maaf dan minta halal selama saya guna ya. Apapun, ini selimut kegemaran saya. Minta maaf sekali lagi MAS.”
Kisah kejujuran penumpan MAS itu menjadi viral selepas Ketua Pramugara MAS, Kamarulzaman Abd Karim memuat naik gambar nota berkenaan di Facebook dan Instagram (IG) miliknya.
Menurut Kamarulzaman, nota berkenaan dipercayai ditinggalkan penumpang yang menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah.
“Seperti biasa, kami akan melakukan pemeriksaan di dalam kabin selepas penumpang keluar bagi memastikan sekiranya ada dalam kalangan mereka yang tertinggal barangan peribadi.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, seorang kru menemui bungkusan barangan bersama sekeping nota di dalamnya di atas kerusi dan dia (kru) menyerahkannya kepada saya.
“Rupanya, bungkusan itu berisi selimut yang pernah diambil penumpang berkenaan sembilan tahun lalu yang ingin dikembalikan semula,” katanya.
Bagaimanapun, penumpang berkenaan tidak menyatakan nama dan nombor telefon untuk dihubungi di dalam nota yang ditinggalkan.
Namun, Kamarulzaman tetap terharu dengan kejujuran penumpang berkenaan yang sanggup memulangkan semula selepas sekian lama mengambilnya.
Selimut di dalam pesawat MAS kebiasaannya disediakan untuk kegunaan penumpang di dalam kabin saja dan akan dicuci untuk digunakan semula dalam penerbangan lain.