Bali, Angkor Wat Tersenarai Sebagai Destinasi ‘No Go’ Tahun 2020
TERKINITahun 2019 pada kami boleh dikatakan tahun dimana ramai pelancong semakin bertanggungjawab dan ramai semakin prihatin terhadap isu – isu yang melibatkan kesan industri pelancongan terhadap sesebuah destinasi. Sebagai contoh, hari ini boleh dikatakan kebanyakan pelancong tidak lagi menyokong aktiviti yang melibatkan haiwan seperti tunggangan gajah dan sebagainya.
Baru – baru ini, Fodor’s Travel sebuah laman web yang menjadi sumber dipercayai dalam industri pelancongan dan berpengalaman selama 80 tahun telah menyenaraikan beberapa destinasi yang perlu dielakkan pada tahun 2020 atas beberapa faktor.
Menurut Fodor’s No Go List 2020, 13 destinasi telah disenaraikan supaya dipertimbangkan oleh pelancong dan secara tak langsung menjadi pelancong yang bertanggungjawab selain menjaga ‘kesihatan bumi’.
Setiap tahun, Fodor akan menyenaraikan destinasi sambil disertakan isu mengapa sesebuah destinasi tersebut perlu dipertimbangkan dan ini adalah dari segi etika perjalanan, isu alam sekitar dan ada juga yang disebabkan faktor politik.
Berikut adalah 5 destinasi yang tidak digalakkan / perlu dikurangkan kedatangan pelancong pada 2020;
#1. Barcelona, Sepanyol
Bandar di Sepanyol ini sememangnya tidak asing lagi dengan masalah over-tourism. Jika diikutkan, Barcelona sememangnya sudah tidak mampu menampung kebanjiran pelancong yang sentiasa datang kesana.
Menurut Forbes, tiada apa yang boleh mereka lakukan di Barcelona untuk mengatasi masalah ini. Besarkan laluan pejalan kaki mahupun alihkan laluan bas, tetap tidak akan selesaikan masalah kebanjiran pelancong disana.
Isu ini secara tidak langsung akan mendatangkan impak seperti merosakkan alam sekitar, perpecahan komuniti setempat serta kejatuhan taraf hidup.
#2. Angkor Wat, Cambodia
Tapak Warisan Dunia UNESCO Angkor Wat merupakan lokasi paling banyak menerima kedatangan pelancong di Cambodia. Kompleks kuil yang berusia 900 tahun ini semakin hari semakin rosak baik dari segi binaan asasnya mahupun secara kekukuhan struktur itu sendiri.
Sebagai contoh, tangga di kompleks ini semakin hari menjadi semakin licin disebabkan hakisan akibat kedatangan pelancong yang ramai setiap hari. Ada sesetengah struktur, luarannya semakin licin atau lusuh disebabkan sering dipegang atau disentuh.
Buat masa ini, Angkor Wat mengehadkan bilangan pengunjung kepada hanya 300 orang pada satu masa di Phnom Bakheng Hill, salah satu lokasi tarikan untuk menikmati sunset di Angkor Wat.
#3. Bali, Indonesia
Semenjak beberapa tahun ini, pulau yang paling banyak menerima kunjungan pelancong di Indonesia ini dikatakan sedang ‘bergelut’ dengan kesan kebanjiran pelancong dan disebabkan itu, pihak kerajaan Indonesia sedang dalam perancangan untuk mengenakan cukai pelancongan untuk mengatasi kesan terhadap alam sekitar.
Pada 2017, direkodkan sekitar 3,800 tan sampah dihasilkan di Bali dan hanya 60 % akan ke tapak pelupusan. Pengharaman penggunaan plastik pakai buang hanya berlaku pada Disember 2018 dan ini diburukkan lagi dengan isu kekurangan air kepada petani disana kerana kebanyakannya digunakan oleh resort dan villa mewah disana. Ini secara tak langsung memberikan kesan kepada tanaman seterusnya menjejaskan pendapatan para petani.
Selain impak negatif kepada alam sekitar, pihak berkuasa Bali sedang mewujudkan garis panduan kepada pelancong dalam tatacara melawat kawasan ibadat terutamanya apabila muncul beberapa kes seperti pelancong tidak menghormati rumah ibadat, memanjat kawasan suci dan tidak menghormati adat resam kawasan setempat.
#4. Hanoi Train Street, Hanoi
Dibina pada tahun 1902 merentasi Hanoi dan Hai Phong, sehingga hari ini, landasan kereta api di Hanoi masih beroperasi dan di kawasan Old Quarter Hanoi, ia terpaksa melalui kawasan yang padat dengan penduduk dan akan melalui belakang kawasan rumah dan kedai.
Dipanggil Hanoi Train Street, gambar yang diambil disini tidak dapat dinafikan cantik, menarik dan unik. Namun, disebabkan landasan ini masih beroperasi, ia menjadi masalah kerana pelancong akan mengerumuni kawasan ini dan kebanyakan kedai mula menjual makanan dan minuman untuk menarik pelancong supaya berada lebih lama disini sementara menunggu kereta api melintasi kawasan ini.
Masalah berlaku apabila sesetengah pengunjung bertindak ‘berani mati’ hanya sekadar ingin mendapatkan gambar yang ‘rare’ dan baru – baru ini, dilaporkan kereta api disana terpaksa berhenti mengejut untuk mengelakkan terlanggar pelancong yang sibuk mahu bergambar.
Bagi mengatasi masalah ini, pihak berkuasa Vietnam telah mengarahkan penutupan kedai – kedai sekitar landasan selain menaikkan papan tanda melarang pelancong mengambil gambar berdekatan dengan landasan tersebut.
#5. Matterhorn, Itali, Switzerland
Terletak diantara Itali dan Switzerland, Matterhorn merupakan sebuah gunung tertinggi di Eropah dengan ketinggian 4,478 meter.
Fodors menyenaraikan Matterhon sebagai destinasi ‘maut’ kerana tahun ini sahaja ia telah meragut nyawa 7 orang pendaki dan pada tahun 2018, 11 orang pendaki telah terkorban kerana jatuh ketika cuba mendaki ke puncak.
Difahamkan, gunung ini menjadi tidak stabil dari hari ke hari dan keaddaan ini membuatkan ianya berbahaya kepada pendaki.