Sah! Sukan Olimpik Tokyo 2020 Ditunda Ke Tahun 2021

TERKINI
March 25, 2020 - 02:10 PM


Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pada pagi semalam (24 Mac) telah mengadakan sesi perbincangan melalui telefon bagi membincangkan halatuju Sukan Olimpik Tokyo 2020 sesuai dengan perkembangan wabak COVID-19 yang ternyata menjejaskan persiapan tuan rumah dan juga persiapan atlet yang bakal bertanding nanti.

Dalam masa yang sama, jawatankuasa berkenaan turut memuji Jawatankuasa Penyelaras Olimpik Tokyo 2020 dalam usaha mereka melawan COVID-19.

Thomas Bach - Photo credit- reuters

Tidak dapat dinafikan, penyebaran wabak ini memang mengejutkan dan diluar kawalan. Menurut kenyataan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pandemik COVID-19 ini sangat cepat (tersebar). Terdapat lebih 375,000 kes direkodkan seluruh dunia dan wabak ini berada di hampir setiap negara.

Disebabkan maklumat dari WHO ini, Presiden IOC dan Perdana Menteri Jepun memutuskan, Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan ditunda sekurang-kurangnya sehingga tahun 2021 namun tidak melebihi musim panas tahun 2021 atas faktor keselamatan dan kesihatan atlet serta semua pihak yang bakal terlibat kelak.

Walaubagaimanapun, jawatankuasa bersetuju mengekalkan obor Olimpik di Tokyo selain mengekalkan nama Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 (walaupun diadakan pada tahun 2021).