
6 Negara Ini Mungkin Dapat 'Lampu Hijau' Untuk Orang Malaysia Travel Tak Lama Lagi
TERKINIIni mungkin merupakan satu berita gembira kepada rakyat Malaysia yang ingin memulakan aktiviti travel ke luar negara selepas tempoh berkurung akibat penularan pandemik COVID-19.
Ketika ini, Malaysia dikhabarkan masih menjalankan proses rundingan bersama negara-negara yang dikategorikan sebagai Zon Hijau atau 'Green Bubble' bagi melaksanakan pergerakan rentas sempadan.
Memetik laporan Berita RTM -- Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan mengesahkan rundingan dengan salah sebuah negara 'Green Bubble' iaitu Singapura telah berlangsung.
Selain negara jiran terdekat itu, 5 buah negara lagi yang dipertimbangkan untuk membenarkan rakyat Malaysia memasukinya adalah Brunei, New Zealand, Jepun, Australia dan Korea Selatan.
Dalam pada itu, menerusi hubungan Malaysia dan Singapura, 2 daripada 4 kategori rundingan pembukaan sempadan menunjukkan perkembangan positif.
Rundingan tersebut adalah "Laluan Hijau Timbal Balik" untuk urusan perniagaan penting serta urusan rasmi melibatkan kedua-dua negara.
Ia juga termasuk rundingan "Pengaturan Ulang Alik Berkala" untuk membolehkan rakyat Malaysia dan Singapura yang memegang pas imigresen jangka panjang, pulang secara berkala ke negara masing-masing bagi tujuan cuti pendek.
Keputusan penuh mengenainya dijangka bakal diumumkan Kerajaan Malaysia dan Singapura pada awal bulan depan (Ogos 2020)!
Jadi sama-sama kita nantikan hasil rundingan bersama itu. Semoga selepas ini rakyat Malaysia dibenarkan untuk travel ke 6 buah negara paling awal yang disahkan selamat untuk dikunjungi.
Sumber: Berita RTM