Ada Yang Tengah Bercuti Di Terengganu? Elak Aktiviti Pantai Air Pasang Besar Sedang Berlaku!

TERKINI
December 09, 2021 - 03:12 PM


Jika anda sedang bercuti di Terengganu atau tinggal di negeri itu --  anda dinasihatkan supaya menghindari dan tidak melakukan aktiviti di kawasan pantai sepanjang fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku 3 hingga 12 Disember ini.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Norhalid Kimi berkata peringatan dan amaran itu bagi menggelakkan insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang musim tengkujuh.

Peralihan monsun timur laut yang melanda Terengganu ketika ini tidak sesuai untuk melakukan aktiviti air dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan ombak besar.

"Masih ada masyarakat atau komuniti yang hendak berkelah dan bermain air ketika ini. Itu adalah suasana yang merbahaya kepada mereka.

"Setakat ini kita bagi nasihat dan amaran. Bukan kami sahaja, bahkan sesiapa pun, patut bertanggungjawab untuk menasihatkan mereka," katanya.

Beliau berkata masyarakat juga perlu peka dengan keadaan semasa sebelum melakukan sebarang aktiviti khususnya di kawasan pantai yang sering menjadi tumpuan pengunjung untuk melihat fenomena air pasang besar.

Terdahulu, Angkatan Pertahanan Awam Terengganu mengenal pasti sebanyak 37 lokasi di negeri itu yang dijangka berdepan risiko banjir berikutan fenomena air pasang.

Ia melibatkan 7 daerah di negeri itu kecuali Hulu Terengganu.

Antara kampung yang dikenal pasti ialah yang terletak di kawasan berhampiran pantai dan sungai.

Sementara itu, Terengganu juga baru melepasi gelombang pertama banjir pada Isnin lalu yang menyaksikan empat daerah terjejas.

Banjir yang melanda bermula Khamis itu menyebabkan seramai 224 mangsa daripada 75 keluarga di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara.

Sumber: Astro Awani 

Destination: