Monsun Timur Laut Landa Malaysia 3 Nov-Mac 2022. Ini 6 Perubahan Cuaca Yang Perlu Korang Tahu!

TERKINI
November 02, 2021 - 01:07 PM


Mulai November ini hingga awal Januari tahun depan, penduduk di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor bakal dilanda dengan musim hujan lebat -- susulan peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula 3 November serta berterusan sehingga Mac 2022.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hujan lebat juga dijangka lebih tertumpu di Sarawak serta Sabah pada awal Januari dan Februari 2022.

Ini beberapa jangkaan cuaca yang dimaklumkan oleh MetMalaysia :-

1) Dalam tempoh ini (Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh), empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku.

2) Mulai hujung Januari hingga Mac 2022 dijangka cuaca agak kering di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

3) Kebanyakan tempat di Malaysia dijangka menerima hujan paras purata sepanjang Monsun Timur Laut kali ini.

4) Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

5) Risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut.

6) Tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora serta ombak besar di perairan Laut China Selatan -- manakala kawasan pantai negeri-negeri yang mengadap Laut China Selatan juga dijangka mengalami risiko kenaikan paras laut.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat serta angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web serta media sosial rasminya dan aplikasi mobil myCuaca.

Sumber: Bernama

Destination: