AirAsia Harap Pelanggan Tak Tuntut Bayaran Balik, Sebaliknya Terima Tawaran Kredit

TERKINI
April 13, 2020 - 04:38 PM


"Saya sarankan anda terima tawaran kredit dan bukannya menuntut bayaran balik"

Itu mesej yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes kepada para pelanggan AirAsia yang penerbangannya terpaksa dibatalkan akibat wabak COVID-19.

Beliau meminta jasa baik penumpang untuk menerima tawaran tersebut memandangkan syarikat penerbangan tambang rendah itu kini sedang berdepan cabaran terbesar sejak hampir 20 tahun penubuhannya apabila tidak mempunyai perolehan masuk gara-gara 96 peratus penerbangannya terjejas.

 "Kami tidak mempunyai perolehan yang masuk, 96 peratus penerbangan terjejas dan kami masih mempunyai komitmen kewangan berterusan seperti pembekal bahan api dan ejen pajakan", kata Tony.

Oleh itu, beliau terpaksa bersikap terbuka dan telus dalam situasi yang tidak menentu ini dan memberi pilihan terbaik lain kepada pelanggannya -- yang sehingga kini lebih 80 peratus daripada mereka telah menerima tawaran kredit sebagai alternatif.

"Saya tahu ramai di antara anda telah menyatakan kekecewaan kerana tidak menerima bayaran balik untuk penerbangan anda tetapi saya menyarankan anda untuk menerima kredit sebagai alternatif terbaik.

"Lebih daripada 80 peratus daripada anda telah menerima tawaran kredit kami dan kami benar-benar menghargai ini.

"Kredit ini mempunyai masa sah 365 hari dan membolehkan anda mengubah tarikh penerbangan anda untuk beberapa kali tanpa had," kata Tony.

Beliau menambah, walaupun pihaknya amat mengharapkan pelanggan menerima tawaran kredit, AirAsia masih menerima permohonan untuk pembayaran balik mengikut kes.

"Namun, ia mungkin memerlukan proses yang panjang antara 12 hingga 16 minggu kerana banyak permintaan yang kami terima," katanya.

Sebelum ini AirAsia mengambil langkah mengurangkan gaji sementara bagi barisan kakitangan pengurusan kanan sebagai langkah mengurangkan kos syarikat.

Sumber: AirAsia

Destination: