AirAsia Lanjutkan Penangguhan Perjalanan Ke Wuhan Sehingga 29 Februari

TERKINI
January 29, 2020 - 09:26 AM


Penangguhan semua penerbangan AirAsia dari Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket ke Wuhan akan dilanjutkan sehingga 29 Februari 2020 menurut sebuah kenyataan yang dikeluarkan pihak mereka semalam.

Tambahan pada itu, AirAsia juga menyediakan peruntukan untuk penumpang yang telah membuat tempahan penerbangan ke / dari semua destinasi di tanah besar China untuk mendapatkan akaun kredit atau bayaran balik penuh.

Difahamkan, jaringan penerbangan AirAsia telah mengadakan sekatan terhadap penumpang berdasarkan kerakyatan, bandar asal, sejarah penerbangan dan juga tujuan lawatan dan penumpang dinasihatkan menghubungi pejabat kerajaan atau kedutaan negara masing – masing sebelum perjalanan.

Langkah ini dilakukan krisis novel coronavirus (2019-nCoV) yang mula merebak dari Wuhan dan setakat ini telah meragut 106 nyawa di China dan telah berjangkit kepada ribuan rakyat China di sana.

Tambah AirAsia, pelanggan boleh memilih untuk mengekalkan nilai tambang mereka dalam akaun BIG Loyalty AirAsia mereka untuk perjalanan masa depan dan ia boleh ditebus untuk tempahan dalam tempoh 90 hari kalendar dari tarikh pengeluaran atau bayaran balik penuh, yang boleh dilakukan di support.airasia.com.

Kedua – dua ini pilihan ini adalah disediakan untuk semua pelanggan mereka yang telah membuat tempahan penerbangan dari atau ke tanah besar China dari 28 Januari 2020 sehingga 15 Februari 2020. Kalau anda telah membeli tiket ke sana, boleh membuat tuntutan bayaran penuh di laman web diatas.

Bagi tempahan melalui agen, pembayaran penuh boleh diminta pada agen – agen yang berkenaan.

Sementara itu, para penumpang yang berada di Wuhan dinasihatkan supaya peka tentang pengumuman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan selain menghubungi kedutaan di China bagi mendapatkan bantuan.

Untuk rekod, 2019-nCoV ini telah merebak ke banyak negara termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Australia dan juga Amerika Syarikat.