AirAsia Sambung Penerbangan Surabaya-KL, JB Bermula 18 Mei Ini

TERKINI
May 06, 2020 - 02:16 PM


Bermula 18 Mei ini, AirAsia Indonesia bakal memulakan semula penerbangan dari Surabaya ke Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Presiden Pengarah AirAsia Indonesia, Veranita Yosephine berkata, keputusan tersebut dibuat memandangkan angka kes positif Covid-19 di Malaysia telah mula menunjukkan penurunan.

“Kuala Lumpur telah menunjukkan trend penurunan kes positif Covid-19 yang ketara dan dengan itu kami memutuskan untuk membuka semula penerbangan-penerbangan kami ke Malaysia.

“Bagaimanapun, kami akan terus menyemak semula keputusan dan mengekalkan standard kesihatan,” katanya semasa sidang media maya baru-baru ini.

Syarikat penerbangan sekutu AirAsia itu telah menghentikan sementara kesemua penerbangannya sejak 1 April lalu disebabkan kekurangan penumpang susulan rayuan kerajaan yang mahu rakyat duduk di rumah dan mengelakkan perjalanan tidak perlu.

Kerajaan Indonesia secara rasmi menyekat semua penerbangan keluar dan masuk dari bandar-bandar utama negara berkenaan bermula 24 April lalu sebagai sebahagian daripada langkah-langkah kecemasan yang diambil untuk membendung penularan Covid-19.

Bagi menjana pendapatan, syarikat-syarikat penerbangan Indonesia termasuk AirAsia Indonesia telah berubah kepada perkhidmatan kargo dan sewa khas kerana ianya masih dibenarkan oleh Kementerian Pengangkutan.

Di negara jiran Malaysia, sempadan masih ditutup untuk ketibaan warga asing setakat ini.

Sumber: Malaysia Gazette