Alhamdulillah, Bermula 1 Nov Umat Islam Seluruh Dunia Dibenar Tunai Umrah!

TERKINI
October 27, 2020 - 05:24 PM


Syukur Alhamdulillah.

Bermula 1 November ini, umat Islam di seluruh dunia berusia antara 18 hingga 50 tahun akan dibenarkan mengerjakan umrah selepas permit kebenaran untuk jemaah luar Arab Saudi dibuka secara rasmi.

Bagaimanapun, dalam usaha mencegah jangkitan COVID-19, terdapat beberapa arahan yang dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah. Antaranya:

1. Jemaah perlu menjalani kuarantin selama 3 hari sewaktu ketibaan di negara itu. Menerusi laporan Saudi Gazette yang memetik sumber Kementerian Haji dan Umrah, kesemua syarikat umrah perlu mematuhi peraturan kementerian dan mengawal kehadiran jemaah dari luar negara.

2. Jemaah perlu mempunyai sijil ujian kesihatan PCR yang menunjukkan mereka bebas COVID-19, tidak lebih daripada 72 jam selepas sampel itu diambil dan dikeluarkan oleh makmal bertauliah di negara jemaah.

3. Jemaah juga perlu mendapat kebenaran untuk melakukan umrah selain lawatan ke dua Masjid Suci dan melakukan solat di Rawdah Sharif dengan mendaftar di aplikasi Eatmarna.

4. Setiap jemaah perlu mendapatkan tempahan penerbangan pulang selari dengan program yang diluluskan.

Peraturan itu termasuklah tempahan bagi tempat penginapan yang komprehensif yang turut membabitkan sekurang-kurangnya tiga kali hidangan sehari sepanjang tempoh tiga hari kuarantin.

5. Syarikat umrah perlu mengesahkan segala maklumat tepat berdasarkan pasport jemaah termasuklah tarikh lahir yang masuk ke dalam sistem umrah, sekurang-kurangnya 34 jam sebelum hari ketibaan.

Melalui sistem itu, data tiket penerbangan juga perlu ada dalam sistem, termasuk nombor tiket, nombor ketibaan pesawat, negara berlepas, masa dan tarikh pelepasan, negara ketibaan, masa dan tarikh tiba serta maklumat penerbangan lain.

6. Maklumat penginapan di Makkah dan Madinah perlu dilengkapkan juga. Ejen umrah asing yang bekerjasama dengan syarikat di Arab Saudi juga bertanggungjawab untuk melengkapkan data ini malah berdepan dengan tindakan sekiranya terdapat maklumat tidak benar.

7. Jemaah perlu dibahagikan kepada kumpulan dengan minimum seramai 50 jemaah dalam satu kumpulan dan syarikat umrah perlu melantik seorang ketua untuk mengawal setiap kumpulan berkenaan.

Sumber: Berita Harian

Destination: