Anda Bosan Duduk Rumah? Jom Buat Video Pendek 'Tourism Malaysia', Boleh Menang Pakej Percutian!

TERKINI
April 23, 2020 - 02:27 AM


Bagi menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan masa secara positif sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Tourism Malaysia menganjurkan pertandingan menghasilkan video muzik pendek bertemakan pelancongan.

Tourism Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan pertandingan yang bermula dari 18 hingga 28 April itu menawarkan peluang unik buat rakyat Malaysia mempamerkan bakat serta kreativiti dalam mempromosi pelancongan di Malaysia tanpa perlu meninggalkan rumah masing-masing.

Penyertaan boleh dibuat secara berkumpulan atau individu, dengan peserta boleh memilih dari tiga kategori iaitu nyanyian, bermain alat muzik atau melakonkan sketsa mengenai pelancongan di Malaysia.

Setiap muzik video juga perlu menggunakan lagu ‘Cuti-Cuti Malaysia’ atau ‘Visit Truly Asia Malaysia’ yang boleh dimuat turun dari laman sesawang rasmi Tourism Malaysia.

“Penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada semua warganegara Malaysia dengan harapan untuk menggalakkan rakyat Malaysia mempromosi produk pelancongan di Malaysia menggunakan media sosial.

“Tiga pemenang terpilih akan membawa pulang pakej pelancongan tiga hari dua malam yang meliputi tiket penerbangan pergi balik, penginapan serta pengangkutan dan lawatan. Pemenang boleh memilih sendiri destinasi pelancongan pilihan di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut termasuk terma dan syarat pertandingan, boleh didapati dengan melayari laman sesawang Tourism Malaysia di https://www.malaysia.travel/en/my.

Sumber: Bernama

Destination: