Arab Saudi Bakal Bangunkan Resort Ski Futuristik Pertama Di Tanah Arab!

TERKINI
March 31, 2022 - 05:26 PM


Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman mengumumkan pelan projek pembangunan resort ski yang pertama di negara itu.

Lapor Daily Mail, projek yang dikenali sebagai TROJENA, merupakan sebahagian daripada bandar futuristik NEOM.

NEOM merupakan projek pembinaan mega bernilai AS$500 bilion (RM2.11 trilion) yang meliputi 25,900 kilometer persegi wilayah Tabuk Arab Saudi, berhampiran sempadannya dengan Jordan dan Mesir.

Memetik laporan portal Middle East Eye, TROJENA bakal dilengkapi beberapa kemudahan antaranya perkampungan ski sendiri, tasik air tawar buatan manusia, pusat peranginan mewah dan rizab alam semula jadi. 

Ia juga akan menampilkan Vault, sebuah kampung dalam kawasan pergunungan dengan dilengkapi kemudahan perhotelan, hiburan dan teknologi.  

TROJENA akan dibina di tengah-tengah NEOM, kira-kira 49.88 kilometer (km) dari pantai Teluk Aqaba di kawasan pergunungan dengan puncak tertinggi di Arab Saudi, sekitar 2,599 meter atas paras laut.

Projek itu turut membabitkan pembinaan Slope Residences, rumah agam mewah yang menghadap pemandangan tasik. 

TROJENA juga dijangka menyediakan kemudahan untuk aktiviti sukan air dan berbasikal di gunung. 

Resort ski itu dijangka mampu menarik kira-kira 7,000 pengunjung menjelang 2030. 

Projek itu dijangka siap menjelang tahun 2026.

“TROJENA akan mentakrifkan semula sektor pelancongan dunia dengan mewujudkan kawasan berdasarkan prinsip ekopelancongan.

“Projek itu juga mengetengahkan usaha kami untuk memelihara alam semula jadi dan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat sejajar dengan matlamat Wawasan Kerajaan 2030,” kata Putera Mohammed bin Salman.

Destination: