"Bercinta Lepas Nikah!" 22 Pelajar Pondok Dinikahkan Tanpa Kenali Identiti Pasangan
TERKINISeramai 22 pasangan pengantin dinikahkan dalam satu majlis yang diadakan di Sekolah Pondok Darul Falah Pusat di Sidoarjo, Jawa Timur baru-baru ini.
Lebih menarik, 22 pengantin itu saling tidak mengenali siapa pasangan mereka ketika dinikahkan.
Ketua sekolah pondok tersebut, Syaiful Bakri berkata, acara pernikahan melibatkan ramai pasangan pengantin itu akan dilakukan setiap lima tahun sekali.
Katanya, kebanyakan pengantin itu merupakan pelajar perempuan dan lelaki di sekolah pondok berkenaan yang sudah cukup umur dan ingin mendirikan rumah tangga.
“Kesemua pelajar itu akan dinikahkan dan mereka hanya bertemu dengan pasangan masing-masing selepas ijab kabul selesai.
“Hal ini tidak menimbulkan masalah kerana setiap pengantin sudah bersedia untuk menerima sesiapa sahaja yang dijadikan suami mereka,” katanya seperti yang dilapor Antara.
Jelas Syaiful, pernikahan kali ini merupakan yang ketujuh dilaksanakan di sekolah pondok berkenaan.
Dia menerangkan, selepas para pelajar bernikah, mereka dan suami serta isteri masing-masing akan ditempatkan di cawangan sekolah pondok di beberapa daerah lain bagi membantu operasi.
“Sekurang-kurangnya 250 pasangan pengantin sudah dinikahkan sejak majlis perkahwinan beramai-ramai itu diadakan.
“Para pelajar juga tidak dipaksa sama ada untuk berkahwin dengan rakan mereka di sekolah pondok atau pun orang luar.
“Jika ada yang mahu berkahwin dengan orang luar, mereka akan merujuk kepada penjaga di sekolah pondok dan mendapatkan nasihat,” ujarnya.