Bercuti Ke Hong Kong, Jangan Lupa Selfie Dengan 'Chong Wei' Di Madame Tussauds!
TERKINISiapa dekat sini peminat bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei? Mesti korang semua pun peminat jaguh sukan ni kan...min pun sama!
Kalau korang ada peluang melancong ke Hong Kong lepas ni, jangan lupa untuk singgah ke muzium patung lilin terkenal dunia, Madame Tussauds Hong Kong kerana di situ korang berpeluang untuk melihat sendiri dan bergambar kenangan dengan patung lilin Chong Wei.
Berita menggembirakan itu dikongsi sendiri oleh bintang tersohor dunia itu di laman Facebooknya, hari ini.
Beberapa keping gambar turut dimuat naik yang menunjukkan beberapa pasukan Madame Tussauds Hong Kong tekun membuat ukuran dan perincian pada badan Chong Wei sebagai sebahagian daripada pembuatan patung lilinnya.
Menurut Chong Wei, patung lilinnya itu bakal diperkenalkan pada suku kedua tahun ini.
Chong Wei merupakan rakyat Malaysia kedua selepas pelakon Hollywood kelahiran Ipoh, Perak, Tan Sri Michelle Yeoh yang juga diberi pengiktirafan patung lilin di Madame Tussauds Hong Kong.
Pemilihan patung Chong Wei sebagai atlet cemerlang yang telah memenangi pelbagai kejohanan badminton antarabangsa diharap dapat menarik lebih ramai peminat sukan dari seluruh dunia.
Selain memenangi banyak kejohanan dunia, Chong Wei pernah bertakhta di kedudukan nombor satu dunia selama 349 minggu.
Madame Tussauds mempunyai lebih 20 cawangan di seluruh seperti Hollywood, New York, London, Amsterdam, Sydney, Tokyo, Shanghai dan Singapura.
Sumber: Mstar