Lee Chong Wei Atlet Malaysia Pertama Ada Patung Lilin Di Madame Tussauds
TERKINIMadame Tussauds Singapura pada 13 Oktober 2022 mempamerkan patung lilin bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.
“Kami berbangga dipilih sebagai Madame Tussauds pertama yang mempamerkan Lee, seorang bintang sukan terbaik di rantau ini, kini berada di Singapura dan berdiri sebaris dengan nama-nama tersohor dalam ‘Hall of Fame’ Sukan di sini,” kata pengurus besar Madame Tussauds Steven Chung di laman sesawangnya.
“Legenda sukan adalah individu yang mengagumkan, mereka memiliki keupayaan unik untuk menawan hati peminat dan memberi inspirasi kepada generasi muda dari seluruh dunia,” tambah Chung.
Patung lilin Lee akan dipamerkan di Madame Tussauds Singapura sehingga suku pertama 2023 dan akan dipindahkan secara kekal ke Madame Tussauds Hong Kong.
ATLET MALAYSIA PERTAMA MEMPUNYAI PATUNG LILIN DI MADAME TUSSAUDS
Lee Chong Wei merupakan satu nama yang cukup terkenal di Malaysia dan menjadi atlet pertama dari negara itu yang dipamerkan di dewan Madame Tussauds.
Patung lilinnya akan dipamerkan bersama atlet terkemuka dunia termasuk pemain bola sepak legenda Cristiano Ronaldo dan David Beckham.
Laman sesawang itu menyebut Lee layak berada di Hall of Fame kerana mencatat rekod sebagai pemain badminton terbaik di dunia selama 349 minggu dan berada di tempat teratas selama 199 minggu berturut-turut.
Memenangi 69 gelaran siri super, beliau juga mewakili Malaysia sebagai duta muhibah UNICEF, menurut laman sesawang itu.
6 JAM TEMPOH DIAMBIL DAPATKAN 200 UKURAN LEE CHONG WEI
Pada November 2019, Pasukan Madame Tussauds mengambil masa selama enam jam untuk mendapatkan 200 ukuran Lee yang dilakukan dengan penuh teliti.
Menjadikan patung lilin itu lebih istimewa, Lee menyumbangkan jersi rasmi yang dipakai beliau dalam penampilan terakhirnya di Sukan Olimpik di Rio 2016.
Laman sesawang itu juga memuat naik beberapa gambar Lee termasuk di sisi patung lilinnya di Madame Tussauds Singapura, dan ketika bersama peminatnya pada sesi Bertemu Peminat.
Sementara itu, Lee berkata beliau sangat teruja kerana akhirnya dapat mendedahkan patung lilinnya kepada peminat dari seluruh dunia. “Banyak masa dan usaha telah diluangkan oleh pasukan di Madame Tussauds. Mereka begitu teliti dalam tugas menyiapkan patung saya dan saya sangat berterima kasih atas peluang ini,” kata Lee.
Menurut Madame Tussauds Singapore, syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Firefly adalah rakan kongsi rasmi untuk pelancaran itu.
Peminat yang ingin melihat patung lilin Lee boleh melayari laman sesawang Madame Tussauds Singapore di www.madametussauds.com/singapore untuk membeli tiket sebelum patung lilin itu terbang ke Hong Kong dan kekal dipamerkan di sana.
Sumber: BERNAMA