Bermula 8 Februari, Ibadah Umrah Dibenarkan
TERKINIKabinet hari ini memutuskan untuk membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Feb ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat memanjangkan tempoh penggantungan perjalanan ibadah itu yang berkuat kuasa 8 Jan lepas susulan penularan jangkitan varian Omicron COVID-19.
Nancy berkata prosedur operasi standard (SOP) untuk kebenaran perjalanan itu masih sama seperti sebelum ini antaranya mewajibkan jemaah mengambil dos penggalak.
Pada 1 Jan lepas, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan susulan peningkatan varian Omicron COVID-19 dalam kalangan jemaah yang pulang dari Arab Saudi.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata penilaian risiko situasi COVID-19 membabitkan varian itu di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.
Sumber: Astro Awani