Buat Masa Ni, Rentas Negeri Hanya Untuk Melancong Ke Langkawi Sahaja - MOTAC

TERKINI
September 29, 2021 - 03:08 PM


Ini pemberitahuan terkini untuk aktiviti pelancongan merentas negeri buat pengetahuan anda semua!

Buat masa ini, kebenaran untuk rentas negeri bagi tujuan melancong hanya dibenarkan ke Pulau Langkawi sahaja melalui Gelembung Pelancongan atau 'travel bubble'.

Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi satu kenyataan di laman Facebook mereka pada Rabu.

Dalam kenyataan tersebut, MOTAC memaklumkan kebenaran itu masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, pelancong domestik dibenarkan untuk melakukan aktiviti pelancongan Intra-State (dalam negeri yang sama) bagi negeri-negeri yang berada dalam Fasa 2 dan ke atas, berdasarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kenyataan itu merujuk kepada Sidang Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 September lalu.

Perdana Menteri telah menyatakan bahawa kerajaan akan membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dengan syarat negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa seluruh negara berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Susulan itu, kerajaan akan membuat pengumuman rasmi sebaik sahaja mendapat suatu tarikh yang bersesuaian.

Berdasarkan rekod melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID19 (JKJAV), sehingga 28 September 2021, sebanyak 85.1 peratus populasi dewasa telah lengkap divaksinasi.

P/S: Atau dalam erti kata lain, 3 lokasi yang diumum sebelum ini iaitu Melaka, Tioman & Genting yang akan dibuka 1 Oktober ni adalah terbatal la ya..memandangkan negara belum capai 90% kadar vaksinasi dewasa. So diharap bersabar ya semua...

Sumber: FB MOTAC

Destination: