118 Bilik Hotel Jadi Pusat Kuarantin & 2 Makmal Saringan Disedia Bagi Pelancong Antarabangsa Ke Langkawi

TERKINI
November 16, 2021 - 02:25 PM


Semalam (15 November) -- Langkawi mula membuka pintunya kepada pelancong luar negara selepas pulau peranginan popular itu dijadikan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa dengan pematuhan beberapa prosedur operasi standard (SOP).

Kumpulan sasaran bagi gelembung pelancongan itu ialah pelancong berkualiti dan individu yang telah lengkap vaksinasi COVID-19.

Susulan itu, Langkawi dijangka menerima kehadiran 5,000 pelancong antarabangsa pada bulan Disember nanti.

Sementara itu, sebanyak 118 bilik daripada 20 hotel di sekitar Pulau Langkawi telah dikenal pasti sebagai lokasi sesuai untuk proses kuarantin dan pengasingan bagi mana-mana pelancong antarabangsa yang disahkan positif pada kategori 1 dan 2.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Nasaruddin Abdul Muttalib memaklumkan kesemua bilik hotel terbabit telah menepati garis panduan yang ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah seperti sistem penghawa dingin yang berasingan dan tidak berkongsi dengan bilik-bilik lain.

"Sekiranya berlaku kes positif COVID-19 dalam kalangan pelancong (antarabangsa), kali ini kita tidak sediakan PKRC swasta di hotel tertentu tetapi kita telah menggariskan ciri-ciri bilik hotel yang sesuai (yang mana) boleh dijadikan pusat pengasingan atau kuarantin untuk pelancong yang didapati positif COVID-19.

"Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan JKN Kedah, 118 buah bilik daripada 20 buah hotel dikenal pasti layak untuk dijadikan bilik kuarantin sekiranya ada pelancong positif pada kategori 1 dan 2,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 2 buah makmal swasta disediakan di Langkawi bagi melakukan saringan COVID-19 kepada pelancong asing yang akan memasuki pulau peranginan itu.

Makmal berkenaan akan berfungsi sebagai lokasi bagi pelancong asing untuk melakukan ujian Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) apabila tiba di Langkawi dengan penerbangan terus dan sebelum pulang ke negara asal masing-masing.

Sementara itu Pulau Langkawi dijangkakan tidak akan menerima penerbangan terus dari mana-mana negara dalam tempoh dua minggu.

Ini kerana kesemua pelancong yang memasuki Langkawi sepanjang tempoh itu hanya akan menggunakan penerbangan transit menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Setibanya pelancong daripada KLIA, saringan akan dibuat KLIA terlebih dahulu sebelum pelancong ini meneruskan penerbangan mereka ke Langkawi.

SOP Gelembung Pelancongan Antarabangsa :

- Tempoh menginap minima di Langkawi adalah selama 3 hari

- Jika mereka ingin menyambung ke destinasi lain di Malaysia, tempoh berada di Langkawi adalah selama 7 hari

- Selepas pelancong berada 7 hari di Langkawi mereka dibenarkan untuk menyambung percutian ke destinasi lain di seluruh Malaysia.

Sumber: Awani

Destination: