Langkawi 'Travel Bubble' - Malindo Air Tawar 6 Penerbangan Sehari & 15KG Bagasi Percuma

TERKINI
September 07, 2021 - 10:25 PM


Bukan sahaja menawarkan 6 penerbangan setiap hari ke Pulau Langkawi -- malah lebih menarik syarikat penerbangan Malindo Air turut menawarkan 15 kilogram bagasi percuma kepada individu yang sudah lengkap divaksin yang juga pemegang tiket 'Super Saver' serta melakukan perjalanan dengan semua penerbangan Malindo!

Tawaran istimewa itu diberikan Malindo Air susulan susulan pembukaan semula sektor pelancongan secara gelembung perjalanan ke pulau lagenda berkenaan bermula 16 September ini, selain sambutan Hari Malaysia yang kebetulan jatuh pada hari tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata 5 daripada penerbangan itu adalah dari Lapangan Terbang Suktan Abdul Aziz Shah atau dikenali sebagai Subang Skypark manakala 1 lagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sehingga kini, Malindo Air beroperasi secara dua penerbangan harian antara Langkawi dan Subang Skypark yang menjadi pilihan bagi perjalanan domestik.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan sektor pelancongan di beberapa destinasi akan dibuka di bawah program gelombang perjalanan dengan Langkawi dipilih sebagai projek rintis, bermula 16 September ini.

Pada masa sama, Mushafiz Mustafa berkata, 2021 adalah tahun yang mencabar buat industri penerbangan namun keadaan kini disifatkan semakin baik.

Malah, katanya, pembukaan semula Langkawi sangat bernilai bagi memajukan semula industri penerbangan dan pelancongan yang terjejas teruk.

Katanya, pihaknya berharap pembukaan semula ini akan memberi nafas baharu buat semua pihak yang berkenaan.

"Malindo Air akan bekerjasama dengan kerajaan, Lembaga Pembangunan Langkawi dan Tourism Malaysia untuk memastikan inisiatif pelancongan ini berterusan dengan kaedah selamat dan berkualiti.

"Kami juga memastikan semua kakitangan kami lengkap divaksin untuk mewujudkan suasana yang lebih selamat kepada orang ramai dan pelanggan," katanya.

Beliau berkata, perjalanan dalam tempoh COVID-19 dijangka menjadi lebih kompleks di mana penumpang masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan sekatan tertentu yang masih perlu diguna pakai.

Katanya, susulan berlaku perubahan ekoran COVID-19, Malindo Air mengambil langkah selamat yang lebih ekstrem dengan meningkatkan pembersihan kabin dan pembasmian kuman.

"Setiap pesawat Malindo Air dilengkapi dengan tapisan udara partikel keberkesanan tinggi (HEPA) yang mengeluarkan lebih dari 99.9 peratus mikrob di udara.

"Oleh itu, udara kabin disegarkan setiap dua hingga tiga minit sepanjang penerbangan," katanya.

Sumber: Berita Harian

Destination: