Langkawi Bakal Diserbu Orang Kaya Qatar, Mulai Oktober Ini





Bermula Oktober depan, Pulau Langkawi bakal diserbu dengan kehadiran ramai pelancong dari negara paling kaya di dunia iaitu Qatar!

Ini kerana Qatar Airways yang baru sahaja diiktiraf sebagai syarikat penerbangan terbaik dunia 2019 bakal memulakan penerbangannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi mulai 15 Oktober ini.

Empat penerbangan seminggu akan dilakukan pada hari Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad.

Namun mulai 27 Oktober pula, satu lagi perjalanan akan ditambah iaitu pada Jumaat menjadikan jumlah keseluruhan lima penerbangan seminggu dari Doha ke Langkawi.

Qatar Airways akan menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner yang boleh membawa lebih 250 penumpang.

Pesawat dijangka berlepas dari Doha pada 2.00 pagi waktu tempatan dan akan tiba di Langkawi 5.05 petang, manakala pesawat berlepas pulang dari Langkawi pada pukul 7.00 malam.

Promosi mengenai laluan terbaharu itu sudah giat dilakukan sejak April dan menunjukkan sambutan yang amat memberangsangkan.

Lebih menarik, terdapat permintaan daripada negara-negara yang berkemungkinan besar tidak pernah datang ke pulau lagenda itu.

Dengan perkhidmatan terbaru daripada Qatar Airways yang sebelum ini telah terbang ke lebih 160 destinasi seluruh dunia, dijangka lebih ramai pelancong dari luar negara akan melancong dan menikmati keindahan Pulau Langkawi.

Sumber: Bernama

 

 

;