Siapa Kata Langkawi Sunyi? Statistik LADA Tunjuk 250 Ribu Pelancong Datang Sana Bulan Lepas!
TERKINIDakwaan yang digembar-gemburkan sesetengah pihak mengatakan Langkawi sunyi dan tiada pengunjung adalah kurang tepat apabila data menunjukkan perkara sebaliknya.
Ini kerana menurut statistik pulau peranginan itu mencatatkan gelombang kedatangan pengunjung melebihi sasaran yang ditetapkan pada bulan lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib --secara purata kira-kira 200,000 pelancong melawat Langkawi setiap bulan, tetapi catatan bulan lalu adalah tertinggi untuk tahun ini iaitu seramai 252,000 orang.
Lonjakan itu agak besar berbanding unjuran awal pihaknya sebelum ini.
“Sehingga akhir September, sejumlah 1.8 juta pelancong masuk ke Langkawi dan angka ini membuktikan kedatangan pelancong tidak berkurangan seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak,” katanya.
Nasaruddin berkata, data kemasukan pelancong dikeluarkan LADA adalah sah dan diguna pakai pelbagai pihak kerana pengumpulan maklumat berkaitannya dibuat secara harian.
“Data kemasukan pelancong dikumpul secara harian membabitkan tiga pintu masuk utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Jeti Kuah dan Dermaga Tanjung Lembung.
“Pelancong diyakini terus mengunjungi Langkawi sepanjang baki dua bulan terakhir tahun ini, untuk membantu kita mencapai sasaran 2.5 juta pelancong,” katanya.
Artikel Terdahulu: Langkawi Sendu Tanpa Pengunjung, Harga Cekik Darah Jadi Punca?