CoronaTracker – Platform Sehenti Covid-19 Diketuai Penyelidik Dari Malaysia Terima Pengiktirafan WHO

TERKINI
March 24, 2020 - 08:12 AM


Pandemik Covid-19 merupakan topik perbincangan hangat setiap hari dan situasi berkenaan tidak kurang juga di Malaysia yang boleh dikatakan setiap hari pasti sahaja ada pesanan melalui Whatsapp, Telegram dan lain – lain lagi.

Namun, pelbagai maklumat yang disebarkan ada kalanya tidak benar dan secara tidak langsung memberikan fakta yang tidak tepat. Bagi mengatasi masalah itu, sekumpulan pasukan penyelidik di seluruh dunia telah berusaha menyalurkan fakta tepat mengenai wabak Covid-19 ini.

Diketuai oleh rakyat Malaysia, sekumpulan pasukan penyelidik ini tleah membangunkan sebuah platform sehenti bagi menyalurkan data dan berita sahih berkaitan Covid-19 dari seluruh dunia. Menariknya, platform yang menggunakan nama CoronaTracker ini diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bermula dengan pembabitan 400 orang sukarelawan seluruh dunia, CoronaTracker merupakan projek berasaskan komuniti yang terdiri daripada saintis data, pengamal perubatan, pembangun web, pereka UI/UX serta orang awam. Difahamkan, team ini sekarang mempunyai lebih 1800 sukarelawan.

Menurut ketua penyelidik, Fairoza Amira Hamzah, kajian penyelidikan ini bertujuan untuk membuat ramalan mengenai kes Covid-19, kematian serta pemulihan melalui model ramalan dan kerja keras pasukan tersebut selama dua bulan, bermula 25 Januari lepas menampakkan hasil apabila kertas penyelidikan mereka diterbitkan melalui buletin dalam talian WHO pada 19 Mac 2020.

Melalui portal CoronaTracker, ia bertindak sebagai portal untuk orang ramai mengetahui perkembangan berita terkini mengenai COVID-19 serta mengumpul data untuk analisis lanjut.

 

Sumber: Bernama