Cuba Naik Pesawat Secara Percuma, Taktik Lelaki Ini Menyamar Sebagai Pilot Akhirnya Tak Menjadi

TERKINI
November 22, 2019 - 12:29 PM


Seorang lelaki ditahan oleh pihak polis selepas cuba menyamar sebagai seorang juruterbang di Lapangan Terbang Delhi, India.

Suspek yang dikenali sebagai Mr Rajan Mahbubani cuba menaiki pesawat milik AirAsia dengan menyamar sebagai seorang juruterbang daripada syarikat penerbangan Lufthansa dengan niat mendapat layanan istimewa.

Walaubagaimanapun, suspek ditahan sebelum berjaya menaiki pesawat tersebut yang bertujuan ke Kolkata.

Pihak keselamatan India berjaya menahan suspek setelah AirAsia membuat panggilan kepada Lufthansa dan didapati identiti ‘pilot’ berkenaan tiada dalam pengkalan data Lufthansa.

Berpakaian lengkap seorang pilot dan menggunakan tanda pengenalan Lufthansa yang didapati di Bangkok, suspek mendakwa telah berjaya menaiki pesawat antara Delhi dan Kolkata lebih daripada 15 kali dalam masa enam bulan menggunakan modus operandi yang sama.

Walaupun mempunyai tiket penerbangan yang sah untuk setiap penerbangan, Mahbubani cuba menggunakan ‘jawatannya’ untuk mendapatkan kelebihan yang biasanya diperolehi oleh juruterbang seperti naiktaraf secara percuma, akses ke lounge dan akses terus ke pesawat tanpa perlu beratur dengan penumpang lain.