Anda Penumpang AirAsia Yang Jadi 'Mangsa Reschedule'? Korang Berhak Tuntut Pampasan Tau!

TERKINI
May 10, 2022 - 01:17 PM


Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila ramai penumpang AirAsia yang merungut dan tidak berpuas hati apabila syarikat penerbangan tambang murah tersebut didakwa sesuka hati bertindak menjadualkan semula penerbangan mereka sehingga ada yang terpaksa menunggu hampir 24 jam di lapangan terbang!

Seorang penumpang Airasia meluahkan rasa tidak puas hati apabila berkongsi pengalamannya terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selepas penjadualan semula penerbangan syarikat tambang murah itu pada akhir Ramadan lalu.

Beliau yang mahu dikenali sebagai Hilmi berkata, penerbangan asalnya pada akhir April lalu dari Alor Star ke KLIA2 pada pukul 8.30 malam sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu pukul 6.20 pagi keesokan hari.

Namun katanya, seminggu sebelum tarikh itu, AirAsia memaklumkan waktu penerbangannya dijadual semula lebih awal kepada 1.35 petang hari yang sama.

Tambah beliau, empat hari sebelum berlepas, syarikat penerbangan itu menjadualkan semula waktu penerbangan lagi ke Kuala Terengganu ke pukul 12.05 tengahari.

“Penjadualan semula waktu penerbangan ini betul-betul menyusahkan saya sebab banyak perancangan sudah diatur. Bayangkan saya perlu menunggu hampir 24 jam di KLIA untuk penerbangan keesokan hari.

“Sepatutnya perancangan saya hanya berada di KLIA pada malam 30 April dan penerbangan awal pagi ke Kuala Terengganu.

“Jadi semua perancangan tergendala kerana sampai petang di sana malah saya pula terpaksa menghabiskan masa 24 jam di KLIA. Jika saya ingin menempah hotel, kos lain pula perlu dikeluarkan.

“AirAsia sepatutnya membayar pampasan atau kerugian yang penumpang alami gara-gara penjadual semula waktu penerbangan apatah lagi kami membeli harga tikel mahal untuk pulang berhari raya,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjalankan siasatan dari sisi kepentingan pengguna berhubung isu kelewatan dan penjadualan semula penerbangan domestik melibatkan syarikat penerbangan Air Asia.

Mengambil maklum rungutan, aduan dan keluhan pengguna, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata, isu kelewatan penerbangan AirAsia ke pelbagai destinasi dalam negara dikesan berlaku sejak hujung bulan lepas dan masih berlanjutan.

“KPDNHEP akan terus menjalankan siasatan daripada sisi kepentingan pengguna dan bekerjasama dengan MOT (Kementerian Pengangkutan) bagi merungkai permasalahan ini, demi memastikan ia tidak berlanjutan dan berulang,” katanya dalam ciapan di akaun Twitter rasmi beliau.

Alexander turut mengepilkan beberapa aduan dan rungutan pengguna yang tidak berpuas hati dengan penjadualan semula penerbangan AirAsia yang disiarkan melalui media sosial.

Beliau memaklumkan pengguna perkhidmatan penerbangan berhak menuntut pampasan bagi meneruskan perjalanan namun tertakluk kepada beberapa faktor dan punca penundaan atau pembatalan, berdasarkan maklumat daripada laman Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Pampasan itu merangkumi makanan, bil panggilan telefon dan akses internet bagi penangguhan selama dua jam atau lebih: penginapan hotel dan pengangkutan untuk penangguhan selama lima jam atau lebih; dan pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif jika penerbangan dibatalkan.

Pengecualian bagi mendapatkan pampasan adalah apabila berlakunya suatu “keadaan luar biasa” termasuk risiko keselamatan atau cuaca ekstrem, yang mana syarikat penerbangan tidak dapat menjangka.

“Jika anda berpandangan bahawa anda tidak menerima pampasan sewajarnya, sila kemukakan aduan rasmi kepada syarikat penerbangan tersebut sebelum anda menghubungi Mavcom,” katanya.

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: