Demi Survival, Singapore Airlines Keluar Dengan Idea 'Giler' Tawar Penerbangan Tanpa Destinasi!

TERKINI
September 24, 2020 - 03:28 PM


Memandangkan ketika ini masih banyak negara yang belum membuka pintu sempadan masuk dan keluar masing-masing -- maka banyak juga syarikat penerbangan yang masih menanggung kerugian kerana ketiadaan penumpang.

Tidak mahu terus menanggung kerugian, ada syarikat penerbangan yang tampil dengan pelbagai idea kreatif sebagai usaha merangsang semula perniagaan mereka yang terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19.

Antara yang membuat kelainan adalah Singapore Airlines (SIA) apabila mereka menawarkan penerbangan tanpa sebarang destinasi -- iaitu perjalanan pergi dan balik di lapangan terbang yang sama.

Menurut laporan Straits Times, penerbangan daripada Lapangan Terbang Changi dijadualkan bermula penghujung Oktober ini dan turut ditawarkan bersama pakej penginapan di hotel, baucar membeli belah dan perjalanan feri limosin yang mana setiap penerbangan dijangka mengambil masa 3 jam.

Projek berkenaan bakal direalisasikan selepas satu tinjauan menunjukkan 75 peratus dari 308 peserta menyatakan persetujuan membeli tiket bagi penerbangan berkonsepkan norma baharu itu.

Sekatan perjalanan bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 mengakibatkan industri penerbangan di seluruh dunia terjejas teruk.

Syarikat penerbangan seperti SIA lebih terkesan kerana tidak menyediakan perkhidmatan penerbangan domestik.

Selain Singapore Airlines, pada bulan lalu juga beberapa syarikat penerbangan Jepun dan Taiwan turut melancarkan kempen sama antaranya All Nippon Airways (ANA) dan Starlux Airlines.

Sumber: Berita Harian

Destination: