Dipengaruhi Oleh Kawan 'Suci', Seorang Ibu Terpaksa Dikejarkan Ke Hospital Setelah Mengambil Ivermectin
TERKINIAntara cabaran dalam zaman moden yang serba pantas dan segala info boleh disampaikan adalah memastikan sesuatu fakta itu sahih dan benar. Kali ini, akibat dari fakta yang salah mempengaruhi kehidupan seseoorang dan membuat satu keluarga kacau bilau.
Baru-baru ini, seorang wanita dari Singapura telah meluahkan kekecewaannya di Facebook selepas ibunya terpaksa dimasukkan ke hospital gara-gara terpengaruh dengan propaganda anti-vaksin dengan ambil ubat rawatan parasit, ivermectin tanpa nasihat doktor.
Dalam posting yang dibuat oleh Vanessa pada 3 Oktober lalu, wanita ini mengatakan ibunya telah mengalami enam kesan sampingan dan terpaksa dikejarkan ke wad kecemasan selepas mengambil ivermectin.
Kesan sampingan yang dialami oleh ibunya ini termasuklah muntah, sakit sendi yang teruk dan tak boleh berjalan mahu pun berdiri.
Vanessa mendakwa ibunya ini telah terpengaruh untuk ambil ivermectin oleh dua kawannya yang dikenali dari sebuah gereja di Singapura.
Wanita ini juga turut kongsikan beberapa tangkap layar menunjukkan perbualan ibunya dengan dua rakannya itu di mana rakannya telah menasihati ibunya untuk tidak mengambil vaksin jenis mRNA kerana bertentangan dengan agama.
Kemudiannya, selepas ibunya mengambil dos pertama vaksin Sinophram yang bukan jenis mRNA, kawan-kawannya mengatakan yang ibunya ini tak boleh masuk ke syurga.
Jadi, bagi mengeluarkan semula dos pertama vaksin yang diambilnya itu, rakan-rakan ibunya ini telah menyarankan wanita itu untuk mengambil ivermectin.
Hasilnya ibu Vanessa telah dimasukkan ke dalam hospital dan terpaksa menjalani rawatan kerana telah ambil ivermectin tanpa nasihat daripada doktor.
Vanessa turut menasihatkan orang ramai untuk tidak sewenang-wenangnya menyebarkan perkara seperti mereka lebih tahu tentang semua benda lebih dari doktor dan sentiasa berbincang dengan keluarga sebelum berbuat sesuatu.
Harap dengan perkongsian ini dapat membuka mata dan hati mereka yang sering kali berkongsi fakta yang salah dan akibatnya boleh memudaratkan kehidupan seseorang.