Ebit Lew Dan Isteri Sekali Lagi Dipanggil Ke Bukit Aman

TERKINI
October 01, 2021 - 04:04 PM


Pendakwah terkenal, Ebit Lew dipercayai telah dipanggil sekali lagi oleh Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung kes gangguan seksual mengaitkan dirinya, semalam. 

Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, beliau hadir bersama isterinya bagi membantu siasatan.

"Kita memanggil beliau sekali lagi bagi memenuhi keperluan untuk melengkapkan siasatan,” katanya ringkas. 

Terdahulu, polis mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan ekoran video dan mesej lucah yang tular dalam aplikasi Telegram didakwa melibatkan seorang pendakwah terkenal.

Siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Pada masa sama, kata beliau, kes berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ekoran penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Sebelum ini, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew telah dipanggil untuk merakam keterangan percakapannya di Bukit Aman pada Ogos lalu.

Siasatan membabitkan Ebit dijalankan di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Destination: