Harga Tiket Bas Meningkat Sehingga 20% Menjelang Hari Raya Aidilfitri

TERKINI
April 14, 2022 - 03:14 PM


Pengguna perkhidmatan bas kini terpaksa berdepan kenaikan harga tiket menjelang sambutan Hari Raya antara 10 hingga 20% selepas terbeban dengan kenaikan harga barang keperluan.

Kenaikan harga tambang bas ekspres tersebut berkuat kuasa sepanjang tempoh sah laku Lesen Perubahan Sementara (LPS) yang bermula 29 April depan hingga 8 Mei.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Mohamad Ashfar Ali berkata, kerajaan telah menetapkan kadar tambang pada RM0.10 setiap kilometer ke atas tambang bas ekspres sedia ada sepanjang tempoh tersebut.

Beliau juga berkata, kenaikan harga dalam lingkungan 10% tersebut sebenarnya digunakan untuk menampung kos pekerja dan perjalanan sempena Hari Raya Aidilfitri serta berperanan sebagai insurans bas baharu.

Peningkatan tersebut memperlihatkan harga tiket bas misalnya dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan mengalami kenaikan tambang daripada RM46.20 kepada RM50.20, manakala peningkatan harga tambang daripada RM30 kepada RM35 bagi bas menuju ke Larkin, Johor.

Berdasarkan semakan di laman sesawang redbus.my, sistem tempahan tiket bas ekspres dalam talian juga menunjukkan perjalanan sehala dari TBS ke Ipoh naik daripada RM20 kepada RM24.

Manakala itu bagi perjalanan dari TBS ke Terminal Bas Larkin, Johor pula turut berlaku peningkatan harga daripada RM30 kepada RM35, iaitu naik antara RM5 hingga RM8.