India Ubah Suai Kereta Api Jadi Pusat Kuarantin

TERKINI
April 08, 2020 - 02:34 PM


Seperti yang kita tahu, India merupakan sebuah negara miskin dan juga memiliki jumlah penduduk antara yang teramai di dunia.

Justeru apabila berdepan dengan pandemik COVID-19 yang semakin buruk dari sehari ke sehari, nampaknya India yang terkenal dengan perkhidmatan kereta api paling sesak di dunia juga terpaksa mengubah suai 20,000 buah gerabak untuk dijadikan tempat kuarantin.

Penyedia perkhidmatan kereta api utama di India, Indian Railways menyatakan bahawa syarikat itu telah menyiapkan prototaip 20,000 gerabak kuarantin yang mampu menyediakan 320,000 buah katil untuk pesakit.

Sejak penghujung bulan Mac, perkhidmatan kereta api kepada penumpang biasa telahpun dihentikan serta digantikan dengan kerja-kerja pengubahsuaian.

Setiap gerabak itu akan dilengkapi dengan kemudahan tertentu seperti yang digariskan oleh pengamal perubatan. 

 

Indian Railways mensasarkan untuk menyediakan gerabak khas itu di 16 zon dengan Souh Central Railways, yang berpangkalan di Telangana memperuntukkan sebanyak 486 gerabak untuk diubah suai.

Sementara zon Mumbai pula mempunyai 482 buah gerabak.

 

Setakat hari ini (8 April), India telah merekodkan 4,314 kes jangkitan COVID-19 dengan 118 jumlah kematian.

Pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri India, Narendra Modi mengarahkan perintah berkurung selama tiga minggu sehingga 14 April ini ke atas 1.3 bilion rakyatnya.

Namun, usaha kuarantin di negara itu dilihat sangat sukar memandangkan di kawasan miskin penduduknya tinggal di kawasan perumahan yang sempit dan hampir mustahil untuk melakukan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

SUMBER: INDEPENDENT | TRAVEL AND LEISURE

Destination: