Indonesia: Jenazah Tak Kunjung Tiba Untuk Dikebumi, Rupanya Masih Hidup

TERKINI
August 13, 2021 - 03:22 PM


Selalu kita dengar tentang kisah pesakit yang lari daripada hospital sebab tak tahan duduk hospital kan? Dan cerita sebegitu semakin banyak sekarang ni disebabkan bilangan kes Covid-19 yang semakin meningkat. Namun, kali ini bukan pesakit yang hilang, mayat jenazah pula yang tak hadir pengebumian. 

Di Klaten, Indonesia, seorang pesakit Covid-19 di sini dilaporkan meninggal dunia dan keluarganya sudahpun menyiapkan kubur untuk mengebumikan jenazah, namun selepas menunggu sehari, rupanya pesakit itu dimaklumkan masih hidup dan menerima rawatan di hospital.

Lapor Tribunnews berkata, pada mulanya, pesakit wanita tersebut yang berasal dari Desa Tambongwetan, Klaten dilaporkan meninggal dunia pada 7 Ogos, yang sebelum itu dibawa ke hospital selepas dijangkiti Covid-19 pada 3 Ogos.

Berita kematian wanita tersebut dimaklumkan oleh jabatan kesihatan, menyebabkan pasukan sukarelawan Covid-19 menyiapkan kubur untuk pengebumian. Keluarga wanita itu juga sudah dimaklumkan mengenai kematiannya.

Sehingga 8 Ogos, jenazah pesakit tersebut masih tidak kunjung tiba menyebabkan keluarganya menghubungi hospital yang kemudiannya mengesahkan wanita tersebut masih hidup dan menerima rawatan Covid-19.

Kubur tersebut ditutup semula dan keluarga wanita berkenaan menzahirkan rasa syukur.