Instafamous Kata Kain Buruk, Tapi Jom Kita Kenali Betapa Istimewa & Simboliknya Baju Tradisional Iban Ini

TERKINI
May 27, 2021 - 01:14 PM


Semalam kecoh di media sosial apabila seorang Instafamous mempersendakan pakaian tradisional kaum Iban hingga mengundang kemarahan netizen.

Instafamous tersebut menerusi sebuah video viral dikatakan telah menyamakan pakaian kebanggaan rakyat  Bumi Kenyalang itu dengan kain buruk dan beberapa lagi perkataan yang kurang sopan.

Jadi, apa kata daripada kita membuat kecaman terhadap Instafamous itu, adalah lebih baik sekiranya kita sendiri mengenali dengan lebih dekat keistimewaan serta simbolik setiap inci rekaan busana tradisional tersebut.

Baju Tradisional Iban Perempuan 

Kaum Iban merupakan kaum paling utama di Sarawak. Pakaian Iban ini dipilih bertujuan untuk dipakai bagi Ratu Pesta Menuai di Sarawak.

Pakaian tradisional lelaki Iban biasanya disebut sebagai 'Baju Burung'. Satu keunikan yang terdapat pada baju ini adalah pada penggunaan bulu burung sebagai simbolik. 

Baju traditional kaum wanita Iban pula dipanggil 'Ngepan Iban'. Hampir keseluruhan baju tradisional wanita Iban ditenun dan dipenuhi dengan corak yang menarik serta unik. 

 

1. Tango

Tango ini adalah diperbuat daripada manik dan dihiasi bebola kain bagi tujuan menutup dada atau baju kecil dan juga kemban. Ianya juga dikenali sebagai Marek Empang. Gubahan Marik Empang telah menjadi warisan turun temurun di kalangan masyarakat Iban di Sarawak. 

Tango ini dihiasi dengan corak berlainan mengikut kesukaan masing-masing. Hasil kerja manik, warna yang digunakan dan reka bentuknya dapat membezakan etnik Iban daripada etnik lain dengan mudah. Ianya juga nampak seperti rantai yang besar menutupi dada dan dipakai pada leher.

2. Sugu Tinggi

Sugu Tinggi ini dipakai di kepala, ianya juga dikenali “talls combs” iaitu perhiasan yang berwarna perak atau 'silver' yang memberi keunikan sendiri dan kilauan yang menarik. Sugu Tinggi ialah kraftangan yang diperbuat daripada corak bunga-bungaan. 

Pada zaman dahulu, Sugu Tinggi ini diperbuat daripada perak sebenar, tetapi kini ia dihasilkan daripada aluminium bersalut perak. Pada masa sama, Ensuga Tisir ialah perhiasan yang diletakkan bersama dengan Sugu Tinggi juga dengan motif bunga.

Selain itu, Sugu tinggi ini juga disokong oleh Sugu Pupung supaya tidak longgar atau menyebabkan ianya terjatuh daripada kepala si pemakai. 

3. Sementing 

Sementing merupakan tali pinggang atau dikenali sebagai Gobeng. Ianya terjurai ibarat tali pinggang dipenuhi dengan duit syiling yang disusun rapat sebesar syiling 50 sen.

Manakala di bahagian bawah saiz syilingnya seperti syiling 20 sen atau 10 sen yang dicantum dan terbentuk seakan tali yang berjuraian. Kebanyakan Sementing berwarna perak.

Pada waktu majlis keramaian atau tarian, mereka akan memakainya dan lebih memukau tarian tersebut apabila sementing ini bergoyang mengikut lenggok tarian si pemakai.

4. Kain Karap/ Pua Kumbu

5. Lampit (Tali Pinggang Perak)

6. Rawai (Korset Perak) 

7. Tumpa Pirak (Gelang Perak) 

8. Geruchung (Gelang Kaki) 

9. Buah Pauh 

10. Selampai 

11. Tali Ujan/ Mulung 

Baju Tradisional Iban Lelaki

Sementara itu, bagi kaum lelaki Iban mereka mengenakan pakaian tradisional daripada 2 jenis iaitu  Kain Sirat dan Dandong. Kain Sirat dikenali juga sebagai kain cawat iaitu pakaian asas kaum Iban.

Manakala, Sirat dipakai dengan cara melilitnya dipinggang dan celah kelengkang. Dandong pula merupakan kain selendang yang dipakai oleh lelaki Iban dan ianya lebih lebar daripada bedong. 

 

1.Sirat

Sirat atau lebih mudah disebut 'kain cawat' seperti mana orang Semenanjung. Sesetengah kain sirat ini pada bahagian hujung kainnya dihiasi bulu-bulu, manik atau juga kulit siput bagi mencantikkannya. Di samping itu, ia juga dihiasi corak sulaman dan tenunan yang sangat unik.

2. Ketapu

Ketapu ini adalah sebuah topi yang dipakai di atas kepala, selalunya dipakai oleh kaum Iban lelaki sahaja. Seperti apa yang diketahui ketapu ini diperbuat daripada rotan dan dianyam menjadi bentuk yang diingini.

Setelah itu, ia dicat sebelum memasang bulu Burung Kenyalang di atasnya. Jika diletakkan lagi banyak bulu burung, maka Ketapu akan kelihatan lebih gah dan cantik kepada si pemakainya.

3. Baju Gagong

Baju Gagong atau juga dikenali sebagai 'Baju Burung' sejenis baju yang tebal dan keras kerana ia diperbuat daripada kulit haiwan seperti kulit beruang, tetapi dihujung baju tersebut tidak dijahit pada kiri dan kanannya.

Asal usul baju burung dipercayai digunakan oleh lelaki Iban yang kuat  dan berani. Lelaki yang menggunakan pakaian ini akan dipanggil ‘Keling’.

Keling adalah lambang kepada kaum Iban yang membawa maksud seorang lelaki yang kuat, gagah dan kacak. Baju burung ini juga ada beberapa jenis seperti Baju Burung Begagong dan Baju Burung Sekarang.

4. Terabai

Terabai merupakan satu peralatan peperangan orang Iban. Terabai ini selalu digunakan oleh lelaki Iban yang kuat, berani berperang serta mempertahankan negeri daripada musuh.

Memandangkan sekarang tiada lagi peperangan, Terabai kini digunakan ketika persembahan Tarian Ngajat atau digunakan semasa menyambut kedatangan tetamu. Rekaan dan saiz Terabai sedikit besar dan boleh disamakan dengan ketinggian seorang manusia antara 3 hingga ke 5 kaki.

Terabai pada zaman dahulunya, diperbuat daripada kayu yang keras serta tahan lasak. Kayu yang digunakan untuk membuat Terabai ialah kayu tebelian, serangan batu atau kayu mengeris -- namun sekarang mereka menggunakan kayu yang ringan dan lembut agar mudah untuk diukir dengan corak kreatif tertentu di atasnya.

Jadi, jika anda ke Sarawak nanti setelah kita semua dah boleh merentas negeri, bolehlah kalau nak cuba dan merasai sendiri pengalaman memakai pakaian tradisional kaum Iban yang sangat unik dan istimewa ini.

Jangan jadi seperti rakaman video viral di bawah yang mengundang kemarahan masyarakat terutama rakyat Sarawak akibat keterlanjuran Instafamous berkenaan mempersendakan pakaian tradisional kaum Iban.

P/S: Ingat ya, bukan semua benda boleh dijadikan sebagai suatu bahan gurauan terutama apabila melibatkan sensitiviti sesuatu kaum, bangsa atau agama. Maklumlah, negara kita kan mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan agama. Jadi, marilah kita saling hormat-menghormati sesama sendiri. Itu lebih baik!

Sumber: My Baju

Destination: