Jangkakan Cuaca Panas Dan Kering Sehingga Hujung Mac 2020

TERKINI
January 06, 2020 - 11:07 AM


Selepas dilanda ‘musim sejuk’, Malaysia kini berada pada fasa kedua Monsun Timur Laut dan ini dijangka berakhir pada penghujung Mac 2020 dan ini akan menyaksikan kurangnya taburan hujan di seluruh negara kecuali di barat Sarawak dan Sabah.

Dalam tempoh ini (pertengahan Januari hingga hujung Mac), ketiadaan hujan atau taburan hujan yang rendah untuk tempoh yang lama bakal menyebabkan keadaan cuaca panas dan kering di sesetengah kawasan terutamanya di utara Semenanjung seperti di Perlis, Kedah dan utara Perak selain beberapa kawasan di Pantai Timur seperti kawasan utara Kelantan dan Terengganu.

Menurut pemantauan pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), keadaan kurang hujan telah bermula di utara Kedah dan Perlis dimana sesetengah kawasan tidak menerima hujan hampir dua minggu dan keadaan ini dijangka bererusan sehingga berakhirnya musim Monsun Timur Laut pada penghujung Mac 2020.

Memandangkan negara bakal menerima hujan yang kurang, semua pihak diminta menjimatkan penggunaan air kerana didapati paras air di empangan – empangan tertentu sudah berkurangan berbanding biasa.

Keadaan cuaca panas ini dijangka beransur reda memasuki bulan April berikutan bermulanya fasa peralihan monsun yang dijangka bakal membawa lebih banyak taburan hujan ke seluruh negara.

Pihak MET Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan akan pasikan maklumat berkenaan cuaca panas dan kering ini terutamanya status gelombang haba dikemaskini setiap hari dan maklumat peta gelombang haba ini boleh dirujuk di laman web MET Malaysia setiap hari.

Dalam masa yang sama, pihak MET Malaysia meminta orang ramai untuk menjimatkan penggunaan air selain melakukan aktiviti luar dengan berhati – hati, tidak melakukan pembakaran terbuka dan meminum air secukupnya.

Maklumat berkenaan amaran cuaca terkini boleh didapati di laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia.