Jepun Dan Singapura Kuasai Passport Paling "Power" di Dunia

TERKINI
October 02, 2019 - 04:54 PM


Tatkala ekonomi global mengalami transformasi dan menumpu pada peralihan kuasa, dominasi Asia kelihatan begitu mantap. Melangkah ke suku akhir tahun 2019, Jepun dan Singapura mengekalkan kedudukan kukuh di tempat pertama pada Henley Passport Index, setiap satunya dengan skor tanpa-visa/visa-ketibaan sebanyak 190 daripada maksimum 227. Bagi sebahagian besar daripada sejarah selama 14 tahun indeks berkenaan – yang berasaskan data eksklusif daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) – kedudukan teratas diduduki oleh negara Eropah atau AS. Walau bagaimanapun, keadaan berubah secara dramatik pada tahun 2018, dengan negara-negara Asia kini berkedudukan kukuh sebagai peneraju dunia apabila melibatkan aktiviti ekonomi global dan juga mobiliti global.

Dengan skor tanpa-visa/visa-ketibaan sebanyak 188, Finland, Jerman dan Korea Selatan kekal di tempat kedua, manakala Denmark, Itali dan Luxembourg berada di tempat ketiga, dengan skor sebanyak 187. UK dan AS kekal di tempat ke-6 bersama-sama dengan akses ke 184 destinasi tanpa visa – kedudukan terendah yang pernah diduduki oleh kedua-duanya sejak tahun 2010 dan merupakan penurunan ketara daripada kedudukan pertama mereka pada tahun 2014. Afghanistan berada di kedudukan paling bawah dalam senarai kedudukan tersebut, dengan akses hanya ke 25 negara tanpa visa terdahulu.

Menggunakan data terdahulu daripada Henley Passport Index dan Indeks Kebebasan Ekonomi, penyelidik-penyelidik sains politik Uğur Altundal dan Ömer Zarpli, masing-masing daripada Syracuse University dan University of Pittsburgh, mendapati bahawa "negara-negara yang mendapat skor visa lebih tinggi turut menduduki tempat yang lebih tinggi dalam kebebasan ekonomi, khususnya dalam pelaburan, kewangan dan kebebasan perniagaan."

Dr. Christian H. Kaelin, Pengerusi Henley & Partners, berkata: "Penyelidikan berterusan kami telah menunjukkan bahawa 'kuasa pasport' adalah lebih daripada sekadar destinasi yang boleh dijelajahi oleh pemegang pasport tanpa visa. Seringkali terdapatnya hubung kait yang kukuh antara kebebasan visa dan faedah-faedah lain seperti kebebasan perniagaan dan pelaburan, kebebasan badan kehakiman, kesihatan fiskal dan hak harta."

Meskipun Brexit – sekurang-kurangnya secara teori – hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi, fokus tertumpu kepada bagaimana ia akan memberi kesan kepada dasar migrasi ke dan dari UK. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Madeleine Sumption daripada The Migration Observatory di Oxford University, "Berbeza dengan dasar perdagangan, masa depan dasar migrasi di UK secara asasnya tidak bergantung sama ada UK meninggalkan EU dengan perjanjian atau tidak. Dalam kedua-dua senario, akan adanya 'tempoh peralihan' sehingga sekurang-kurangnya Disember 2020, yang mana pergerakan bebas warga EU ke UK akan diteruskan lebih kurang seperti mana ia berjalan hari ini. Walau bagaimanapun, selepas itu, penempatan jangka panjang berkemungkinan lebih sukar untuk warga EU. Warga UK yang ingin berpindah ke negara-negara EU selepas Brexit pula akan turut berdepan dengan sistem imigresen yang lebih ketat." 

Negara yang mendaki kedudukan terbanyak pada indeks tersebut sepanjang suku tahun yang lalu ialah UAE, mendaki lima anak tangga ke tempat ke-15. Lorraine Charles di Pusat Penyelidikan Perniagaan Cambridge University berkata: "Biarpun UAE tidak mampu bersaing dengan Arab Saudi – peneraju unggul rantau berkenaan – dari segi kekuatan ketenteraan dan kuasa ekonomi, unjuran kuasa lunaknya tidak dapat ditandingi di GCC."

Seperti mana yang dilakukan oleh mereka sepanjang sejarah yang panjang indeks berkenaan, negara-negara yang menawarkan program-program penghijrahan pelaburan terus menunjukkan prestasi yang mantap. Mendaki kedudukan dari tempat ke-16 yang didudukinya pada suku tahun yang lalu, Cyprus kini menduduki tempat ke-14, dengan warga Cyprus berpeluang untuk mengakses 173 destinasi tanpa visa. Malta mengekalkan kedudukan di tempat ke-7 yang mantap dengan skor tanpa-visa/visa-ketibaan sebanyak 183, manakala Antigua dan Barbuda telah mendaki ke kedudukan ke-28 dengan skor 149 selepas mendapat akses ke Rusia.  

Sumber: Henley & Partners

Destination: