Jepun Dijangka Beri 'Lampu Hijau' Kepada Pelawat Dari 4 Negara

TERKINI
June 02, 2020 - 01:44 PM


Kerajaan Jepun sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan larangan kemasukan pelawat dari Thailand, Vietnam, Australia dan New Zealand, menurut sumber pada Isnin lapor KYODO News.

Penularan wabak COVID-19 semakin pulih di negara-negara itu, yang mempunyai hubungan perniagaan dengan Jepun. 

Menarik balik larangan perjalanan itu disifatkan sebagai langkah pertama dan Tokyo akan berunding mengenai syarat-syaratnya dengan empat negara berkenaan. 

Pada Isnin, Jepun mengenakan larangan masuk terhadap 111 negara dan wilayah termasuk Amerika Syarikat, sebahagian besar negara Asia dan seluruh Eropah, berkuat kuasa sehingga akhir Jun.

Langkah menarik balik sekatan yang pertama mungkin akan dilaksanakan pada musim panas ini, selepas kerajaan meneliti dan membuat perjanjian dengan keempat-empat negara itu.

Vietnam, Australia dan New Zealand antara 11 negara pakatan perdagangan bebas di bawah Perkongsian Trans-Pasifik yang disemak semula, menyaksikan Jepun menjadi sebahagian daripadanya. 

Thailand, pula menjadi tuan rumah kepada banyak syarikat Jepun, termasuk pembuat kenderaan.

Perdana Menteri Shinzo Abe sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan mengkaji semula dengan teliti mengenai larangan perjalanan itu.

Sumber: Bernama