Jom Ketahui Rahsia Qatar Berjaya Rampas 'Takhta' Singapura Sebagai Airport Terbaik Dunia!

TERKINI
August 17, 2021 - 02:18 PM


Wow, buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun -- Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura gagal mempertahankan kemenangan dalam Skytrax World Airport Awards.

Tahun ini, lapangan terbang yang menduduki takhta adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad (HIA) di Doha, Qatar yang menunjukkan peningkatan setiap tahun -- sementara Changi berada di tempat ketiga.

Kejayaan Doha ini juga didorong oleh kerja keras syarikat penerbangan utamanya, Qatar Airways -- di mana pihak kerajaan telah banyak melabur pada syarikat penerbangan nasional itu dan lapangan terbangnya.

Apa yang menjadikan Qatar Airways lebih sempurna adalah bagi penumpang yang mempunyai penerbangan sambungan di HIA boleh menikmati lawatan ke lapangan terbang itu, penginapan dan makanan percuma.

Selain itu, perkhidmatan pemindahan VIP saat penumpang turun dari kapal terbang turut memberi nilai tambah kepada peningkatan kedudukan lapangan terbang berkenaan.

Sementara itu, tiga lapangan terbang di Jepun tersenarai dalam kedudukan 10 terbaik pada tahun ini.

Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda mengekalkan kedudukan di nombor dua terbaik dunia, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Narita naik dua anak tangga di tempat kelima.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kensai pula naik satu anak tangga di tempat kesembilan berbanding tahun lalu.

Dalam pada itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut merekodkan peningkatan apabila kini berada di kedudukan ke-55, berbanding tempat ke-63 tahun lepas.

Anugerah terhadap Lapangan Terbang Terbaik Dunia itu dipilih melalui undian kepuasan pengguna yang dilakukan pada Ogos 2020 hingga Julai 2021.

Dalam rekod berlainan, Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou, China telah menerima 35-45 juta penumpang dalam tempoh itu, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pula menerima 25-35 juta penumpang.

Ini diikuti dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow (20-25 juta), Frankfrut (15-20 juta), Changi (10-15 juta), Zurich (5-10 juta).

Berikut adalah 10 lapangan terbang terbaik dunia :-

1. Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad Qatar (HIA)

2. Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda Tokyo (HND)

3. Lapangan Terbang Antarabangsa Changi Singapura (SIN)

4. Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Seoul (ICN)

5. Lapangan Terbang Antarabangsa Narita Tokyo (NRT)

6. Lapangan Terbang Antarabangsa Munich (MUC)

7. Lapangan Terbang Antarabangsa Zurich (ZRH)

8. Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow London (LHR)

9. Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai (KIX)

10. Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong (HKG)

Sumber: Mstar

Destination: