Kedudukan Kaunter Diubah, KLIA Kini Lebih Mesra Pengguna

TERKINI
December 19, 2019 - 02:48 PM


Para penumpang dan pelancong yang keluar dan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini boleh melakukan demikian dengan lebih lancar selepas inisiatif yang dilakukan oleh Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dan Malaysia Airlines Bhd (MAB) baru – baru ini.

Melalui pasukan khas yang ditubuhkan, kedua – dua syarikat ini berjaya mengenalpasti masalah utama yang dialami oleh KLIA dan menyelesaikan masalah yang sering menggangu perjalanan penumpang terutamanya isu kesesakan di kaunter pendaftaran masuk dan masalah di bahagian bagasi penumpang.

Bagi mengurangkan kesesakan di kaunter pendaftaran masuk, pihak task force ini mencadangkan pengasigan penerbangan domestik dan antarabangsa yang sekarang ini berada di tengah – tengah iaitu barisan C dan B di terminal utama KLIA.

Kaunter pendaftaran masuk untuk penerbangan antarabangsa MAB telah ditukar ke barisan H manakala penerbangan domestik kekal di barisan B. Selain itu, 9 syarikat penerbangan antarabangsa lain bakal dipindahkan ke barisan C bagi memudahkan proses pendaftaran masuk dan seterusnya ke balai pelepasan.

Selain menukar kaunter syarikat penerbangan, kedudukan kiosk daftar masuk layan diri juga turut diletakkan di hadapan, berdekatan dengan pintu masuk utama balai pelepasan. Ini secara tak langsung memudahkan urusan self check-in setiap penumpang.

Perubahan kedudukan kiosk ini akan memendekkan masa yang diperlukan oleh penumpang di kaunter mendaftar masuk selain lebih dekat dengan kaunter meletakkan bagasi. Masa yang diperlukan di kedua dua tempat ini biasanya sekitar 126 minit dan ini bakal dikurangkan kepada 50%.

Difahamkan, lebih kurang 8,000 orang penumpang akan berada di kawasan terminal utama KLIA pada waktu puncak iaitu daripada 6 pagi sehingga 9 pagi, kesemuanya akan bertumpu di barisan tengah iaitu barisan B yang mana ianya untuk penerbangan domestik dan antarabangsa.

Selepas dipindahkan ke barisan H, sekitar 4,000 orang sahaja akan berada di satu-satu barisan, ini secara tak langsung akan mengurangkan kesesakan di kaunter pendaftaran masuk penumpang dan bagasi.

Sekarang ini, perpindahan ini ternyata memberikan kesan positif apabila masa yang diambil oleh penumpang untuk mendaftar masuk hanya 24 hingga 30 minit pada waktu puncak kepada 12 ke 15 minit sahaja (sekiranya penumpang menggunakan kiosk layan diri) untuk mendaftar masuk.

Kerosakan pada bagasi pula berjaya dikurangkan kepada hanya 25% daripada sebelum ini.