Langkawi Bakal Meriah Dengan Persembahan Kebudayaan Waktu Malam?

TERKINI
September 20, 2019 - 11:50 AM


Mengambil contoh kemeriahan pelancongan pada waktu malam di Phuket, Thailand; Bali, Indonesia dan Danang, Vietnam --- Pulau Langkawi juga bakal mengikut langkah yang sama.

Ini selepas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menyarankan kepada penggiat industri tampil dengan idea kreatif dalam pakej yang ditawarkan termasuk mengadakan persembahan kebudayaan berskala besar pada waktu malam.

Katanya, saingan sengit dalam sektor pelancongan dari negara serantau seharusnya menjadikan penggiat industri hadir dengan idea untuk memberi pengalaman baharu kepada pengunjung yang datang ke pulau peranginan bebas cukai ini seterusnya mengekalkan status sebagai pulau tumpuan pengunjung.



"Saya sarankan kena ada persembahan kebudayaan yang betul-betul menarik dan mampu tarik 200 hingga 300 orang setiap kali diadakan. Bila dapat tarik ramai orang akan berlaku percambahan ekonomi seperti peluang untuk jual cenderahati dan makanan, ini antara idea serta hasrat yang sedang diberikan perhatian oleh kerajaan negeri dan Persekutuan," kata Datuk Seri Mukhriz.

Malah, beliau turut berkongsi pengalaman menyaksikan persembahan kebudayaan semasa lawatan ke Xi’an dan Shanghai di China baru-baru ini yang menarik ramai penonton bukan hanya pelancong tetapi juga penduduk tempatan.

"Baru-baru ini juga saya bawa beberapa pengusaha dari China yang terlibat dalam sektor persembahan untuk menyaksikan persembahan Mek Mulung dan Seni Silat Gayung, mereka sangat seronok melihat persembahan tersebut. Saya pasti jika pelancong datang ke Langkawi mereka juga nak lihat persembahan kebudayaan yang autentik, ini antara idea yang dapat bangunkan lagi sektor pelancongan di sini," katanya.

Terbaharu, Langkawi juga menawarkan satu lagi tarikan pelancongan iaitu pengalaman menunggang motosikal klasik dan ‘old school’ buatan Amerika Syarikat di bawah jenama Cleveland CycleWerks untuk dibawa bersiar-siar mengelilingi pulau lagenda itu.

Ia diusahakan oleh anak tempatan, Samsudin Ismail yang memiliki kedai motosikal, The Bank Garage.

Sumber: Bernama

Destination: