Lepas Ni Dah Tak Boleh Terbangkan Dron Atau Memancing Di 'Drawbridge'

TERKINI
July 22, 2020 - 12:55 PM


Kalau sebelum ini banyak gambar-gambar cantik dan video dari pemandangan atas Jambatan Angkat atau 'drawbridge’ di Kuala Terengganu hinggakan destinasi tersebut menjadi viral serta diserbu ramai pelancong tempatan dan luar negara yang teruja dengan keindahannya.

Namun, kini korang dah takkan dapat lagi mengambil gambar atau menikmati pemandangan udara di lokasi tarikan berkenaan memandangkan sebarang aktiviti menerbangkan dron adalah dilarang atas faktor keselamatan.

Bukan sahaja dron bahkan aktiviti memancing di bawah jambatan dan sekitarnya juga adalah tidak dibenarkan dan tindakan tegas bakal dikenakan kepada sesiapa yang melanggar peraturan baharu tersebut.

Menurut laporan Bernama, tindakan drastik dengan meletakkan papan tanda larangan memancing dan menerbangkan dron terpaksa dibuat susulan berlakunya beberapa kejadian dron terhempas di bahagian bumbung menara dan kawasan persekitaran jambatan angkat berkenaan.

Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd, Khalizan Mahmud berkata meskipun sedar larangan itu bakal menimbulkan pelbagai reaksi negatif daripada orang ramai dan perdebatan hangat di media sosial namun atas faktor keselamatan ianya terpaksa dilakukan.

"TI Properties sebenarnya sangat menghargai dan berterima kasih kepada para penerbang dron yang telah memuat naik gambar-gambar dan video menarik mereka di pelbagai platform media sosial dan ia sedikit sebanyak membantu mempromosi serta memperluaskan lagi informasi berkaitan sektor pelancongan Terengganu.

"Bagaimanapun larangan tidak boleh terbangkan dron terpaksa dikuatkuasakan di kawasan jambatan angkat kerana kegagalan mengawal dron boleh menyebabkan ia terhempas sekali gus merosakkan bangunan 'skybridge' yang keseluruhan panelnya dibina daripada kaca serta membahayakan keselamatan orang awam," katanya.

Selain itu menurut Khalizan, larangan penggunaan dron di jambatan angkat juga terpaksa dikuatkuasakan kerana penggunaan dron boleh mengganggu sistem frekuensi operasi 'basscule', yang beroperasi menggunakan sistem gelombang frekuensi wifi.

Sumber: Bernama

 

Destination: