Masjid Nabawi Dibuka Untuk Jemaah Tarawih Tahun Ini

TERKINI
April 12, 2021 - 08:37 PM


Selepas Arab Saudi menggantung ibadah solat tarawih  pada tahun lepas ekoran wabak pandemik, Masjid Nabawi kini kembali dibuka untuk ibadah tersebut pada bulan Ramadhan tahun ini. 

Pengurusan Hal Ehwal Dua Masjid Suci telah membuat persiapan rapi di Masjid Nabawi sebelum menyambut kedatangan Ramadan tahun ini bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi dengan baik.

 

Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz memutuskan untuk membenarkan ibadah solat tarawih dilakukan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dan dikurangkan jumlah rakaatnya kepada 10 rakaat berbanding 20 rakaat pada tahun-tahun sebelum ini.

Namun, kerajaan Arab Saudi meletakkan syarat ketat kepada jemaah awam termasuk mendaftar aplikasi Tawakkalna di telefon bimbit, membawa sejadah, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Solat tarawih dan ibadah qiamullail akan digabungkan serta tempoh masa mendirikannya tidak melebihi 30 minit di semua masjid di Arab Saudi.

Tahun lepas, Arab Saudi menggantung solat tarawih di dua masjid suci di Makkah dan Madinah kepada jemaah awam dalam usaha negara itu membendung penularan COVID-19.