Pelancong Malaysia Maut Dipukul Ombak Besar Di Nusa Penida

TERKINI
September 20, 2019 - 01:19 PM


Seorang pelancong berumur 40 tahun dan berasal dari Malaysia dilaporkan maut selepas dibawa ombak besar dan lemas di Diamond Beach Nusa Penida.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak Polis Nusa Penida, mangsa yang dikenali sebagai Shahfulnizam Jamaludin dan ketika kejadian, mangsa sedang berenang di laut seorang diri sementara isterinya ada di tepi pantai.

Tidak lama kemudian, mangsa dipukul ombak besar sebelum ‘ditarik’ jauh ke tengah laut. Mangsa dilaporkan terapung selama satu jam sambil cuba melawan ombak untuk berenang kembali ke pantai. Malangnya, ombak datang bertali arus dan terlalu besar.

Ombak Besar Di Nusa Penida

Beberapa penduduk tempatan cuba memberikan bantuan dengan menaiki kanu, didapati mangsa sudah tidak sedarkan diri. Mayat mangsa sekarang ini berada di Hospital Pratama Nusa Penida sementara menunggu keputusan keluarga dan pegawai kedutaan disana.

Kepulauan Nusa

Nusa Penida adalah sebahagian daripada daerah dalam kawasan Klungkung dan juga merupakan pulau terbesar antara tiga kepulauan Nusa yang ada di kawasan tenggara Bali. Difahamkan, saban tahun, jumlah pelancong ke Nusa Penida, Nusa Lembongan dan Nusa Ceningan ini meningkat.

Walaupun hanya 30 minit perjalanan dari pulau utama Bali, ketiga-tiga kepulauan ini tidak mempunyai prasarana yang mencukupi. Namun, ini tidak menghalang kehadiran pelancong untuk ke sini.

Selepas tragedi semalam, pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Indonesia mencadangkan supaya pelancongan di Nusa Penida diletakkan bawah perhatian mana – mana agensi atau pihak yang berwajib.

Situasinya kini, terdapat banyak perkara yang perlu diambilkira sebelum membuat keputusan mencari jalan terbaik untuk meningkatkan serta menangani isu keselamatan di Nusa Penida.

Kepada keluarga mangsa, salam takziah daripada kami.

Sumber : Coconuts Bali

Destination: