
Pengeluaran Online ASB Dibenarkan Mulai Hari Ini
TERKINIApril 20, 2020 - 03:44 PM
Ketika berdepan dengan penularan pandemik COVID-19, tidak dinafikan pasti ada isi rumah atau individu yang sedang mengalami cabaran getir dari segi kewangan.
Oleh itu, bermula hari ini Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan kemudahan pengeluaran pelaburan secara dalam talian untuk tabung unit amanah terpilih di bawah pengurusannya menerusi portal myASNB.
Anak syarikat pengurusan unit amanah Permodalan Nasional Bhd (PNB), dalam satu kenyataan berkata pemegang unit boleh mengeluarkan wang pelaburan dari mana-mana akaun unit amanah ASNB -- kecuali ASN Sara 2 dan ASN Equity 5.
Jumlah yang dipohon akan dipindahkan ke akaun bank pelabur yang didaftarkan di myASNB pada hari bekerja yang berikutnya.
Waktu pengeluaran dibenarkan adalah mengikut waktu operasi sedia ada portal myASNB adalah :-
- Unit Amanah Harga Tetap (7:00 pagi - 6:00 petang waktu tempatan, Isnin hingga Ahad kecuali cuti umum)
- Unit Amanah Harga Berubah (7:00 pagi - 4:00 petang waktu tempatan, Isnin hingga Ahad kecuali cuti umum)
Menurut kenyataan itu, pemegang unit dibenarkan membuat pengeluaran dengan jumlah minimum sebanyak RM100 bagi setiap transaksi.
Katanya, bagaimanapun, kemudahan pengeluaran menerusi myASNB itu dihadkan kepada 3 kali transaksi setiap bulan -- dengan jumlah maksimum terkumpul sebanyak RM500 dari mana-mana akaun unit amanah ASNB pelabur.
Malah, kemudahan pengeluaran dalam talian ini juga akan ditawarkan menerusi aplikasi mudah alih myASNB bermula 27 April 2020.
PNB berkata kemudahan terbaharu itu bertujuan memberi lebih fleksibiliti kepada pelabur dalam pengurusan pelaburan masing-masing.
Pada masa yang sama, inisiatif itu dapat memastikan pelabur kekal fokus terhadap objektif pelaburan, khususnya bagi mengimbangi keperluan kewangan semasa dan jangka panjang.
Kemudahan pengeluaran itu juga selaras dengan komitmen ASNB untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelabur, terutamanya dalam memastikan keperluan kewangan pelabur dapat dipenuhi pada setiap masa.
Untuk maklumat lanjut, para pemegang unit boleh merujuk kepada soalan-soalan lazim di www.asnb.com.my atau menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan ASNB di talian 03 – 7730 8899.
Sumber: Berita Harian
Destination: