Perancis Mula ‘Lockdown’, Kedai, Restoran Mula Ditutup

TERKINI
March 16, 2020 - 11:06 AM


Kerajaan Perancis memulakan tindakan ‘lockdown’ semenjak semalam dan kesemua kedai, restoran dan kemudahan hiburan ditutup. 67 juta rakyat Perancis diminta untuk tidak keluar dari rumah bagi mencegah penyebaran  virus secara mendadak yang menyaksikan jumlah kes positif meningkat dua kali ganda dalam masa 72 jam.

Dalam sidang media yang dikeluarkan, Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe berkata pihak kerajaan sudah tidak mempunyai pilihan lain selepas pihak berkuasa kesihatan menyatakan 91 orang telah meninggal dunia di sana dan kini hampir 4,500 orang dijangkiti virus COVID-19.

Orang ramai diminta mengehadkan pergerakan sementara pihak kerajaan menutup lokasi – lokasi tidak penting seperti kafe, restoran, pawagam, kelab malam dan kedai kecuali kedai runcit, farmasi dan pam minyak.

Keputusan ini dilakukan pihak kerajaan selepas mendapati rakyat Perancis tidak mengendahkan saranan kerajaan untuk mengamalkan langkah – langkah yang ditetapkan termasuklah ‘social distancing’ dan masih lagi mengunjungi tempat tumpuan ramai.

Sementara itu di Malaysia, pihak KKM menyelar tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak menyebarkan berita palsu tentang keadaan ‘lockdown’ selama 19 jam hari ini (Isnin).